MOHD Nor Bond.
MOHD Nor Bond.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah veteran, Mohd Nor Bond, 64, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami serangan jantung di kediamannya di Hulu Klang, di sini, kelmarin.

Mohd Nor ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia mula menyedari perkara itu selepas mengalami kesukaran untuk bernafas dan sakit dada teruk.

"Ketika kejadian saya berada di rumah dan tiba-tiba saya mengalami sakit dada teruk sehingga sesak nafas dan muntah.

"Tanpa fikir panjang saya terus bergegas ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk mendapatkan rawatan lanjut. Namun, sebaik tiba doktor memaklumkan saya mengalami serangan jantung selepas salur darah jantung tersumbat 100 peratus.

"Kemudian doktor terus merujuk saya ke IJN untuk membuka saluran darah koronari yang sempit dengan meletakkan belon," katanya.

MOHD Nor Bond ketika dirawat di IJN.
MOHD Nor Bond ketika dirawat di IJN.

Menurut Mohd Nor, sepatutnya hari ini dia perlu menjalani satu lagi prosedur rawatan namun memilih untuk menangguhkannya.

"Saya minta cuti rehat sekejap dan akan melakukan satu lagi pembedahan pada 6 Oktober ini. Alhamdulillah hari ini saya dibenarkan pulang dan sedang berehat di rumah.

"Sebenarnya saya tak pernah hidap sebarang penyakit serius. Ini adalah pengalaman pertama dan pengajaran untuk saya supaya sentiasa menjaga kesihatan," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Nor turut menasihatkan orang ramai supaya berhenti menghisap rokok demi kesihatan.

"Saya ingin berterima kasih kepada kakitangan hospital dan IJN kerana menjalankan kerja dengan begitu profesional, pantas dan cekap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 5:27 PM