CRAIG memperoleh pendapatan tertinggi menerusi filem Knives Out.
CRAIG memperoleh pendapatan tertinggi menerusi filem Knives Out.
Susunan Najiy Jefri

MESKIPUN di kala penularan pandemik Covid-19 ini, ramai yang terjejas pendapatan dan bernasib kurang baik. Namun, tidak bagi penggiat seni ternama Hollywood.

Pendapatan yang mencecah ratusan juta ringgit diperoleh mereka membuatkan masing-masing boleh terus hidup mewah, sekalipun tiada produk filem terbaharu yang dihasilkan.

Justeru, bintang ternama Hollywood seperti Daniel Craig berjaya mengungguli senarai pelakon yang memperoleh pendapatan paling tinggi setakat ini.

Menerusi laporan Daily Mail, bayaran sebanyak RM423.8 juta yang diterima Craig adalah hasil kejayaan lakonannya dalam dua sekuel filem Knives Out.

Durian runtuh itu diterimanya selepas platform penstriman, Netflix membeli hak filem Knives Out 2 dan Knives Out 3.

Difahamkan Netflix membeli dua siri filem terbabit dengan harga RM1.9 billion.

Knives Out bercerita mengenai seorang penulis kisah misteri yang dibunuh dalam rumahnya sendiri.

Filem terbabit memukau hati penonton dan menduduki carta box office.

Siapa sangka, bayaran yang diterima bintang James Bond itu, sekali gus merampas posisi yang selama ini dipegang oleh aktor popular, Dwayne Johnson.

Johnson atau lebih dikenali The Rock menduduki tempat kedua sebagai aktor gaji berpendapatan tertinggi iaitu RM211.9 juta.

Bayaran itu diterima Johnson menerusi filem komedi bertajuk Red One yang ditayangkan di platform Amazon Prime.

Kemudian, Will Smith menduduki tempat ketiga dengan pendapatan RM169.5 juta.

Sementara itu, bintang filem wanita yang menerima bayaran tertinggi pula diduduki oleh Jennifer Lawrence dengan RM106 juta serta diikuti dengan Sandra Bullock RM84.7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:20 AM