ZAITON ceria menerima kunjungan lawatan wakil Perdana Menteri di kediamannya di Ampang,  baru-baru ini. FOTO Aizuddin Saat
ZAITON ceria menerima kunjungan lawatan wakil Perdana Menteri di kediamannya di Ampang, baru-baru ini. FOTO Aizuddin Saat
Norhayati Nordin


TRAGEDI kemalangan jalan raya dialami penyanyi Zaiton Sameon di Batang Kali, Selangor pada 1990-an lalu cukup meninggalkan impak besar dan kehidupannya, termasuk karier nyanyian yang pernah menggilap populariti dirinya.

Turut kehilangan anak lelaki tunggal, Azirwan Abu Bakar yang meninggal dunia pada usia 13 tahun ketika itu, Zaiton pula mengalami cedera parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara.

Seiring masa berlalu, Zaiton yang kini berusia 67, boleh disifatkan sebatang kara dan menumpang kasih dengan anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, bersama keluarganya hampir 13 tahun lalu menghadapi susah senang bersama.

Menetap di kediaman yang disewa RM1,000 sebulan di Ampang, Zaiton ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia sangat berterima kasih dengan Che Sikah dan keluarga kerana sudi menjaga dirinya yang kehilangan tempat bergantung.

"Alhamdulillah, saya bersyukur ada seorang anak angkat yang sudi menjaga saya dengan baik walaupun dia bukan daripada keluarga yang senang. Disebabkan itu, saya perlukan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menolongnya juga.

"Sekurang-kurangnya dengan bantuan bulanan diterima itu, dapatlah saya sama-sama membayar apa yang patut, termasuk untuk kegunaan rawatan saya ketika sakit. Saya pun dah semakin berusia," katanya.

Zaiton yang masih berkeinginan tinggi dalam nyanyian turut menyuarakan rasa kecewa apabila kebanyakan penganjur persembahan kurang yakin dengan kemampuan vokalnya, termasuk memberi bayaran rendah untuk beberapa buah lagu.

"Saya mohon diberikan tawaran menyanyi kerana masih boleh bekerja lagi untuk menyara kehidupan pada usia sekarang ini. Namun, dengan keadaan saya yang begini (impak kemalangan dulu), ramai orang tidak yakin saya boleh menyanyi lagi.

KECINTAAN mendalam Zaiton terhadap nyanyian tidak pernah pudar. FOTO Aizuddin Saat
KECINTAAN mendalam Zaiton terhadap nyanyian tidak pernah pudar. FOTO Aizuddin Saat

"Sedih juga hati ini, sebab saya memang yakin boleh menyanyi dengan baik lagi. Lirik lagu Menaruh Harapan pun saya masih ingat dan berikan saya tawaran menyanyi itu. Saya amat perlukan kerja, tapi tawaran menyanyi diterima kadang-kadang saja.

"Malah, bayarannya pun rendah tapi saya tidak pernah menolak setiap tawaran diterima kerana itu adalah rezeki. Apapun, yang sebenarnya orang tidak yakin saya boleh menyanyi lagi," katanya ditemui selepas menerima sumbangan ikhlas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi yang diwakilkan untuk melawat Zaiton di kediamannya pada Selasa lalu.

Mengulas juga bantuan bulanan JKM, Zaiton berkata dia pernah menerimanya sebelum ini sebanyak RM300 sebulan ketika menetap di Johor Bahru dulu dan sudah tamat pada 2008 lalu.

"Tapi, sejak berpindah tinggal di sini (Ampang), saya tidak pernah menerima apa-apa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak seperti JKM kerana tidak membuat sebarang permohonan baharu.

"Malah, ketika penularan Covid-19 dulu, saya berdikit-dikit menggunakan wang tabungan hasil menyanyi dan menjual Rendang Nasib' untuk meneruskan kelangsungan hidup. Cuma, sekarang saya dah tak larat nak memasak rendang lagi," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Zaiton amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada JKM untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup yang dihadapinya kini.

Bagaimanapun, dia berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan berkenaan dan meminta pihak JKM membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 6:17 AM