FAZURA. FOTO Aziah Azmee
FAZURA. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura enggan membuka mulut mengenai hantaran kekecewaan yang diluahkan di TikTok, baru-baru ini.

Fazura berkata, perkara yang berlaku terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum, namun mengaku ada beberapa perkara yang membuatkan dia kecewa.

"Maaf saya tak boleh komen. Ia terlalu peribadi. Kita buat semuanya kerana Allah. Mungkin sesetengah manusia itu berat untuk berterima kasih dan ada isu-isu yang membuatkan saya berkecil hati sedikit.

"Saya sekarang nak hidup tenang jadi apa-apa perkara yang buat saya terganggu, saya mahu elakkan. Jadi lebih baik saya berdiam diri," katanya

Fazura berkata demikian ketika ditemui pada Program Kolaborasi Kelestarian Korporat sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut Fazura, di usia 40 tahun ini dia mahu hidup dengan tenang tanpa ada perasaan tertekan.

"Saya nak hidup tenang dan tak mahu tertekan. Keutamaan saya sekarang ini adalah melindungi ketenangan saya.

"Apa yang buat saya tertekan saya perlu jauhkan diri, seperti kawan-kawan atau keluarga jauh yang memberikan kekecewaan. Saya sudah buat bahagian saya. Itu sudah mencukupi," katanya.

Terdahulu, Fazura memuat naik hantaran di TikTok seolah-olah meluahkan rasa kecewa terhadap seseorang.

"Menjauhkan diri bukan kerana membenci tapi sudah cukup kecewa di hati. Semoga kita sentiasa bijak menghargai seperti mana kita mahu dihargai," katanya.

Dalam pada itu, Fazura turut melancarkan kempen Tukar Lama Kasi Baru yang menyasarkan 200,000 tudung lama untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

"Tahun lalu saya berjaya kumpul 30,000 tudung lama untuk disumbangkan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

"Tahun ini saya kembali lancarkan kempen ini di MIHAS 2023 yang mana orang ramai boleh datang membawa tudung lama yang masih elok dan kami memberi baucar RM7 untuk dapatkan tudung keluaran saya.

"Alhamdulillah saya menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai sejak 12 September lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 2:35 PM