FAZURA kini fokus kepada perniagaan.
FAZURA kini fokus kepada perniagaan.
Zaara Talita


PASANGAN selebriti Fazura dan Fattah Amin teruja dengan perkembangan puteri sulung mereka, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 16 bulan dan semakin membesar.

Fazura, 39, berkata, dia dan Fattah bergilir untuk menjaga anak kesayangan mereka itu.

"Fatima membesar dengan cepat. Disebabkan dia dikelilingi orang tua (dewasa), jadi kebijaksanaan Fatima lain macam. Dia sudah mula belajar bercakap dan memanggil saya 'mom'.

"Ada sekali Fatima panggil saya 'mak'. Daddy (ayah) dia panggil 'dada'. Muka memang ikut Fattah Amin tapi perangai ikut Nur Fazura.

"Saya berhasrat untuk menghantar Fatima ke tadika pada usia tiga tahun. Buat masa ini, dia baru 16 bulan, mungkin tahun hadapan baru kami akan pertimbangkan mengenai perkara ini. Nampak juga dia menyukai buku dan berminat untuk belajar," katanya.

Fazura mendirikan rumah tangga bersama Fattah pada 27 November 2017 dalam sebuah majlis yang secara tertutup di sebuah hotel di ibu negara.

Mereka menimang cahaya mata pada 2 Oktober 2020.

Fazura berkongsi keseronokan mengenai perkembangan puteri sulungnya itu ketika ditemui di majlis An Evening With Fazura & Besties di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.

Bercerita mengenai kerjayanya, Fazura berkata, dia banyak memberi fokus kepada perniagaan berbanding kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi.

Bagaimanapun, Fazura tidak akan terus melupakan kedua-dua bidang berkenaan dan bersedia untuk menerima tawaran yang diberikan kepadanya jika bersesuaian.

TIMBANGKAN tawaran berlakon jika bersesuaian dengan masanya.
TIMBANGKAN tawaran berlakon jika bersesuaian dengan masanya.

"Memang ada skrip dan tawaran untuk saya. Namun, saya perlu sesuaikan dengan jadual harian sebagai ibu. Saya tidak mahu meninggalkan anak terlalu lama.

"Hendak berlakon saya tidak ada masalah kalau skrip dan waktu penggambaran dapat diserasikan. Tapi buat masa sekarang saya gembira berlakon untuk kempen tudung saya saja," katanya.

Bercerita mengenai penghijrahannya, Fazura berkata, semuanya bermula sejak beberapa tahun lalu apabila dia sering bertudung ketika Ramadan.

Namun, dia memilih untuk tidak bercerita atau mengulas mengenai isu penghijrahannya kerana menganggap tidak perlu untuk memperbesarkan perkara itu.

"Saya tidak boleh menipu pada diri sendiri. Saya enggan bertudung hanya kerana takut apa persepsi orang pada saya. Sehingga kini, saya masih lagi berdoa agar mudah-mudahan apa yang dilakukan hanya kerana Allah SWT.

"Semestinya saya sendiri turut berdoa supaya terus istiqamah dalam segala perkara. Saya bersyukur kerana turut menerima maklum balas positif daripada pembeli dan pengguna.

"Malah, ada yang berhijab bermula dengan minat pada tudung dan jenama keluaran saya. Syukur dengan perkongsian itu kerana kita saling menyokong satu sama lain ke arah kebaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 6:13 AM