Shaheizy Sam
Shaheizy Sam
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Pelakon popular, Shaheizy Sam mengambil pendekatan meluangkan masa terluang bersama anak-anaknya kerana menjadikan pengalaman hidupnya sebagai pengajaran. 

Tidak dapat merasai kasih sayang dan belaian daripada seorang bapa sejak kecil, Sam, 40, memanfaatkan setiap masa yang ada buat tiga orang cahaya matanya.

"Memandangkan anak-anak sudah ada jadi saya ingin meluangkan masa dengan mereka. Saya cuba berikan mereka apa yang saya tak dapat masa kecil.

"Arwah bapa Sam meninggal awal masa kami masih bersekolah lagi dan dia berpisah dengan mak, masa kami kecil. Jadi, saya tak pernah dapat rasa kasih sayang seorang bapa.

"Apatah lagi, arwah bapa dulu adalah Timbalan Ketua Polis Selangor jadi jam 6 pagi sudah keluar rumah, balik 12 malam. Habis kerja balik, kami sudah tidur dah. Dia bangun pergi kerja, kami tidur lagi. 

"Jadi memang tak dapat masa bersama dengan bapa. Oleh itu, seboleh-bolehnya saya tidak mahu apa yang saya lalui itu mereka lalui pula," kata Sam.

Menurut Sam, dia memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pandemik Covid-19 untuk menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anaknya.

Tambah suami kepada Syatilla Melvin itu, tiga cahaya mata mereka sedang membesar dan mudah terikut tingkah laku serta perangai sekeliling mereka.

"Apa yang saya perasan, sikap anak-anak, macam mana dia membesar, apa dia akan jadi, apa dia nampak daripada mak bapa mereka. 

"Macam mana saya bercakap dengan Tilla, macam tu lah dia akan bercakap dengan orang. Macam mana Sam layan Tilla macam itulah mereka layan Tilla. 

"Selain berhati-hati dalam mendidik, mereka juga banyak menjadikan saya menjadi lebih matang dalam setiap tindakan," kata Sam.

Untuk rekod, Syatilla dan Sam berkahwin pada 8 Februrai 2016.

Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Syeriv, Sarima dan Salama Samheizy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 11:01 AM