AMIRA
AMIRA
Norhayati Nordin


DALAM industri hiburan, istilah ‘tiada lama, tiada baharu’ cukup biasa. Apatah lagi, pada era baharu masa kini.

Tatkala pengaruh digital begitu menarik perhatian bakat muda dalam berkarya, penyanyi lama pula hebat dengan kemantapan vokal mereka.

Justeru, gabungan dua generasi kini dilihat serasi dengan kerjasama karya dihasilkan mantap, menyengat dan menjadi tarikan ramai.

Contohnya, penyanyi W.AR.I.S dan Datuk Hattan dengan lagu Gadis Jolobu, diikuti Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah, lagu Belenggu Rindu dan kini Kmy Kmo bersama Datuk M Nasir menerusi lagu Zuhud.

Sehubungan itu, apakah kerjasama dua hala di antara generasi penggiat seni baru dan lama ini boleh dianggap ‘rencah’ tepat untuk memenuhi cita rasa muzik pendengar? Ikuti pandangan beberapa penyanyi.

Amira Othman (Penyanyi)

“Memang diakui ia satu kerjasama yang menarik. Ini kerana sudah diketahui bahawa kebanyakan penyanyi lama memiliki nilai besar sebagai legenda.

“Jadi, pendekatan kerjasama dilakukan penyanyi baru dan lama kini dalam menghasilkan lagu duet bersama sangat tepat. Ditambah dengan suntikan muzik baru yang segar.

“Kalau saya pun dapat peluang itu, sudah pasti akan berbesar hati dapat berduet dengan penyanyi senior pilihan iaitu Datuk Hattan. Semoga beliau sudi,”.

TAJUL
TAJUL

Tajul (Penyanyi)

“Tak dinafikan perkembangan industri muzik tanah air ketika ini bergerak laju. Semakin banyak pembaharuan terkini diketengahkan anak seni.

“Sama ada penyanyi lama atau baru, sebenarnya perlu saling membantu. Apatah lagi, masing- masing semestinya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

“Oleh itu, apabila kerjasama dibuat, saya yakin ia keputusan tepat kerana dapat menarik perhatian pendengar merangkumi beberapa generasi dan peringkat umur,”.

WANI Kayrie
WANI Kayrie

Wani Kayrie (Penyanyi)

“Saya menyokong tindakan kerjasama dilakukan antara penyanyi baru dan lama untuk saling belajar, berbincang pendapat dan berkongsi pengalaman.

“Ini kerana, tidak semua penyanyi muda ada ilmu yang tinggi dalam nyanyian, namun dengan kerjasama dibuat dapatlah dipelajari apa saja teknik nyanyian dan konsep lagu sesuai.

“Saya teringin nak berduet dengan beberapa penyanyi yang kemantapan vokal mereka sangat dikagumi seperti Stacy, Jaclyn Victor dan Faizal Tahir. Terus-terang, saya melihat mereka sebagai penghibur yang sangat selesa ketika di atas pentas,’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 7:00 AM