Babak dua pelakon beragama Islam memegang anjing dalam filem itu.
Babak dua pelakon beragama Islam memegang anjing dalam filem itu.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon dan model, Steve Yap, 51, tidak takut sekiranya babak memegang anjing oleh dua pelakon beragama Islam yang dipaparkan dalam filem Adoiii Jiwaku arahannya akan menjadi isu atau kontroversi apabila ditayangkan nanti.

Babak itu memaparkan seorang bapa, lakonan Anuar Abdul Hamid dan anaknya (lakonan Ali Arami) memegang seekor anjing untuk membantu melepaskannya yang kesakitan.

Steve berkata, babak memegang anjing oleh dua pelakon itu dilakukan atas persetujuan mereka dan rujukan juga lebih dulu sudah dibuat dengan bertanya kepada pihak agamawan.

Menurut Steve, dua pelakon itu juga melakukan samak selepas memegang haiwan itu.

"Saya tanya pelakon dulu, boleh pegang tak? Mereka kata okay, lagipun ada sebab kita nak sampaikan mesej itu (pegang anjing) dan bukan suka-suka pegang. Saya juga ada buat rujukan dan bertanya rakan beragama Islam mengenai babak itu yang berkaitan dengan agama.

"Kawan saya, seorang ustaz pun kata okay boleh buat (babak pegang anjing) dan saya juga fikir ia tidak keterlaluan. Namun, kalau apa yang cuba disampaikan itu betul, saya tidak takut (berdepan kontroversi dan isu).

"Tak perlu takut kalau benar. Lagi pun, niat saya bukan nak buat jahat tapi nak tunjuk pada orang Cina, kenapa? Sebenarnya ada banyak lagi saya nak tunjuk termasuk kisah kahwin empat atau poligami," katanya mengenai filem pertama arahannya itu.

Terdahulu, Steve hadir pada acara pratonton filem Adoiii Jiwaku di pawagam di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, semalam.

Filem berkonsepkan kepelbagaian kaum di Malaysia ini akan ditayangkan mulai 7 September depan.

Steve berkata, filem Adoiii Jiwaku yang skrip hasil ilhamnya itu sebelum ini tersimpan selama 10 tahun berikutan tiada pihak pelabur yang berminat untuk menjadi penerbit.

"Saya mendapat ilham menghasilkan skrip filem ini selepas menonton filem Sepet arahan arwah Yasmin Ahmad. Saya jadi terfikir nak buat satu filem melangkaui budaya, berlainan kaum di Malaysia.

"Cuma, sebelum ini kenapa pelabur tidak berminat dan menolak skrip saya kerana ia memapar kisah berkaitan agama dan kaum. Mereka (pelabur) bimbang jika berdepan masalah dan halangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Bimbang kalau penat-penat buat dan sudah siap nanti, Finas tak bagi keluar (tayang) jadi rugi dan sebab itu tiada orang nak 'invest' (melabur). Tapi, selepas 2018 apabila bertukar kerajaan baru mereka (pelabur) baru berani dan tunjuk minat," katanya.

Filem Adoiii Jiwaku mengisahkan Sia, Ayis dan Malesh yang berlainan bangsa bekerja di sebuah hotel. Mereka sering bertelagah sesama sendiri kerana personaliti dan perspektif yang berbeza dalam banyak perkara.

Dalam satu peristiwa gurauan di pejabat menerusi satu insiden renjatan elektrik, Sia (lakonan Steve) dan Ayis (Ali Arami) bertukar badan antara satu sama lain. Bermula dari situ, mereka rapat dalam usaha mencari jalan dengan melakukan pelbagai cara untuk kembali mendapatkan badan masing-masing.

Diterbitkan Lomo Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama MM2, MCM Cometro, Fortune Studios dan Shinjuru, Adoiii Jiwaku turut dibintangi E Ramanamohan, Amber Chia, Allahyarham Adibah Noor, Pablo Amirul dan Daniel Sher.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 4:13 PM