Pelakon, Janna Nick ketika malam gala filem Juang di Dadi Cinemas, Pavillion. FOTO Aziah Azmee
Pelakon, Janna Nick ketika malam gala filem Juang di Dadi Cinemas, Pavillion. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Janna Nick, 27, bangga sempat berkongsi projek terakhir lakonan bersama Allahyarhamah Adibah Noor sebagai watak ibu dan anak dalam filem Juang.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner berkata, dia memang sangat terasa kehilangan seniwati serba boleh itu dan terkilan tidak sempat berlakon banyak dengannya.

"Ia projek kedua saya berlakon bersamanya. Filem pertama bersamanya adalah Selamat Hari X Jadi tapi itu pun tak banyak babak membabitkan kami.

"Tapi dalam Juang, ada jalinan kuat antara watak kami sebagai mak dan anak. Memang terasa sangatlah kehilangan itu.

"Saya tak sempat ada kenangan berlakon yang banyak dengannya tapi agak bangga ada bersama beliau untuk karya terakhir beliau," katanya.

Janna akui sangat cemburu dengan pemergian Adibah yang ternyata dirasai semua selain ramai cuma bercerita mengenai kebaikannya.

"Saya akui arwah adalah seorang legenda yang memang sangat hebat. Bila arwah meninggal, tak ada satu pun cerita buruk yang keluar.

"Orang cuma cerita yang baik. Itu adalah perkara yang kita semua nak di mana ia pengakhiran sangat baik," katanya.

Janna ditemui pada malam gala pratonton Juang arahan lima pengarah tersohor, Matt Lai, Aziz M Osman, Datuk Yusry Abdul Halim, Kabir Bahtia, dan Osman Ali.

Filem itu ditayangkan pawagam bermula 8 September nanti.

Terdahulu, pada 18 Jun lalu, industri hiburan dikejutkan dengan pemergian Adibah Noor yang meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang sekitar jam 6.30 petang akibat kanser ovari tahap empat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 1:51 PM