Ismahalil.
Ismahalil.
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai punca pendapatan bagi menampung kehidupan keluarganya buat masa ini.

Isma, 50, berkata, dia menjual ubat penawar mata, kopi dan produk-produk lain yang dipasarkan oleh pendengar-pendengar radio Bapakku FM dahulu.

"Semua saya jual. Sekurang-kurangnya saya berusaha untuk cari nafkah serta rezeki. Insya Allah... ada pendapatan untuk keluarga.

"Sebenarnya kebebasan ini saya dahulukan untuk mak saya, untuk solat saya dan untuk keluarga saya. Insya Allah kalau kita kejar akhirat, dunia akan ikut sekali.

"Bila kita buat semua itu, kita akan rasa tenang," katanya ditemui selepas tampil sebagai tetamu program Pagi on Point kendalian Haiza Hanafi dan Muaz Mohamed di Kool 101, pagi ini.

Terdahulu, Isma sebelum ini terbabit dengan satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Dia kemudian dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.

Pengasas radio dalam talian Bapakku FM ini berkata, dia akan kembali ke radio, namun memerlukan sedikit masa untuk menyusun langkah semula.

"Saya tengah set up untuk buat apps yang baru dan laman web yang baru. Bila dah sedia baru saya ke udara semula.

"Ia berbeza dengan jadi tetamu jemputan. Saya jadi tetamu Kool 101 untuk berkongsi pengalaman dengan radio lain.

"Manakala on air di Bapakku FM dah tentu berbeza. Saya perlu kekuatan, perlu persediaan, aspek teknikal, mental untuk on air radio sendiri ini," katanya.

Ditanya kewujudan radio MyFriend.FM yang dikatakan menggantikan Bapakku FM, Isma berkata, ia antara usaha untuk mengekalkan pendengar sedia ada.

"Sebenarnya bila saya kat dalam (penjara) saya macam dah mati. Tiada hak, tiada kuasa nak menegah, nak mengiyakan serta nak melarang apa yang kakitangan saya cuba buat.

"Mereka cuba menghidupkan radio sendiri untuk meneruskan apa yang ada. Kononnya tak nak pendengar itu lari, tak nak bagi ahli kelab itu lagi. Ia ialah kelab pendengar radio Bapakku FM.

"Tapi mereka tiada cukup kuasa untuk buat Bapakku FM. Tak cukup aura untuk buat Bapakku FM kerana saya yang buat. Saya yang cipta dan saya yang maintainkan," katanya.

Menurutnya, mereka cuba buat radio MyFriend.FM semampu yang mereka boleh buat.

"Jadi saya tak boleh kata setuju atau tidak. Saya cuma mendoakan radio Myfriend berjalan dengan baik. Apabila saya kembali semula, radio MyFriend.FM akan dijenamakan kepada Bapakku FM semula.

"Bapakku FM tak berkubur. Walaupun Facebook lama dah ditutup, Facebook Bapakku FM dibuat semula dan kini pengikutnya dah mencecah 100,000 orang. Kami perlu ambil masa perlahan-lahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 5:50 PM