Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu, 39, memaafkan individu dikenali Zulhairi Abu Othman, 35, yang menyebarkan fitnah terhadapnya sebagai seorang Freemason di media sosial selepas pertemuan diantara mereka, hari ini.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad berkata dia memaafkan individu itu kerana sudah mengaku kesilapannya dan insaf di atas kekhilafan dilakukan selepas saling berhubung semalam.

"Pertemuan hari ini, saya ingin dia (Zulhairi) memberikan penjelasan kenapa bertindak begitu diatas hantaran dilakukan yang benar-benar saya rasa melampau kerana mengaitkan juga arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

"Saya rasa terpanggil mencari dan berjumpa dia salah seorang daripada yang ramai lagi sudah menulis komen teruk serta terlalu meriah dengan menuduh saya Freemason dan bermacam lagi untuk penjelasan depan-depan," katanya.

Shuib berkata, pada mulanya dia ingin bertindak tegas ketika menghubungi lelaki berkenaan, tetapi apabila dapat saling bercakap, dia berasa Zulhairi seorang yang baik dan membuat hatinya lembut  untuk memaafkannya.

SHUIB bertemu dengan Zulhairi (kanan) yang membuat hantaran di media sosial yang mengaitkan arwah isteri Shuib, Siti Sarah dengan organisasi Freemason. FOTO  Aziah Azmee
SHUIB bertemu dengan Zulhairi (kanan) yang membuat hantaran di media sosial yang mengaitkan arwah isteri Shuib, Siti Sarah dengan organisasi Freemason. FOTO Aziah Azmee

"Ketika berhubung dengannya semalam, saya dapat rasakan Zulhairi ini seorang yang cukup beradab dan ikhlas. Cuma, mungkin apa yang sudah dilakukan itu kerana dia terkhilaf dengan perbuatannya.

"Dengan kehadirannya hari ini dan penjelasaan dibuat, saya memaafkannya. Tapi, saya akan meneruskan tindakan undang-undang kepada individu lain dikenali, John Dihani yang  dianggap sangat melampau memfitnah saya," katanya.

"Pada John Dihani, saya tahu nama, alamat serta nombor telefon untuk hubungi anda, namun biarlah pihak pegum saya saja yang menguruskan kerana dia dilihat bersikap biadap.

"Saya sudah minta peguam saya untuk hantar satu surat kepadanya (John Dihani) dan rasanya dia pun sudah terima surat itu.

"Walaupun dia ada mesej saya di Instagram malam tadi dan ada cakap nak jumpa saya, tapi saya rasa nak jumpa dia di mahkamah sahaja," katanya.

Terdahulu, Shuib mendedahkan hantaran seorang pengguna media sosial yang mengaitkan dia dengan dakyah Freemason serta mendakwa arwah Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 sebelum meninggal dunia dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:05 PM