TETAP berikan persembahan cemerlang walaupun berdepan sedikit masalah kesihatan. - FOTO Asyraf Hamzah
TETAP berikan persembahan cemerlang walaupun berdepan sedikit masalah kesihatan. - FOTO Asyraf Hamzah
Georgie Joseph


DIDUGA masalah kesihatan pada saat-saat akhir bukan penghalang buat penyanyi, Aina Abdul menghadiahkan persembahan mega pada Konsert A Night With Aina Abdul #Uniedition di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 29, mengakui sudah menjadi amanah besar buatnya memberikan aksi sebaik mungkin di hadapan ribuan yang hadir.

Ternyata, dia berjaya lunaskan tugasan itu dengan cemerlang.

Menurutnya, dia memang berhajat menebus permintaan peminat terutama dalam kalangan pelajar universiti untuk menyaksikannya pada kadar tiket mampu beli.

Dia sangat terharu apabila UM paling pantas memberi maklum balas sewaktu dihubungi.

"Sebenarnya idea itu muncul sewaktu saya buat konsert Aina Abdul 2.0. Ketika itu saya mendapat banyak maklum balas yang mengatakan tiket saya tidak mesra pelajar. Dan, sebab itu saya rasa bersalah sangat.

"Tiada apa saya dapat lakukan kerana ketika itu separuh tempat duduk dibuat ikut penjarakan sosial. Jadi, pada hujung tahun lalu, saya cakap dengan pasukan yang saya nak sangat buat edisi universiti.

"Kami sebenarnya menghubungi banyak universiti tetapi UM adalah universiti pertama yang menyambut saya tanpa sebarang ketetapan peraturan. Mereka terus bersetuju untuk adakannya dan selebihnya biar jadi sejarah," katanya.

Menariknya, Aina yang tampil dengan dua persalinan pada konsert berdurasi hampir dua jam itu memilih anggun dan elegan berbeza dengan fesyen di luar kotak. Dia memang sengaja cuba sisi penampilan begitu pula.

Paling mencuri perhatian semestinya barang kemas mewah digayakannya yang bernilai RM1.6 juta.

Katanya, ada sebab dia mengenakan barang kemas daripada sebuah jenama terkenal itu.

"Sebenarnya saya ingin tampil dengan busana lampu tapi untuk persembahan saya buka, takut nanti tak nampak jalan. Jadi, saya pilih untuk penampilan sederhana saja sesuai dengan persembahan 10 lagu.

AINA tampil begitu anggun dan elegan. - FOTO Asyraf Hamzah
AINA tampil begitu anggun dan elegan. - FOTO Asyraf Hamzah

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penata gaya saya, Abu Shaef Hamza dan syarikat penaja barang perhiasan ini. Saya pun memang jarang-jarang tampil dengan perhiasan begini.

"Saya gayakan rantai, gelang, cincin dan subang berjumlah RM1.6 juta. Saya memakai barang kemas ini kerana nanti akan ada kerjasama saya bersama mereka nanti," katanya.

Selain masalah kesihatan, Aina juga sebenarnya bimbang menjelang hari konsertnya itu selepas isu mengenai warga universiti kecoh berhubungan tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengeluarkan surat arahan pembatalan semua program konsert di seluruh universiti awam termasuk UM, baru-baru ini.

"Saya mendapat tahu mengenai surat arahan dikeluarkan KPT, Jumaat lalu, ketika membuat latihan bersama Mac Chew. Ketika itu, saya takut segala persiapan sudah hampir siap dan tinggal 20 peratus saja sebelum menjelang konsert.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Mokhzani kerana atas bantuan beliau, konsert di UM dapat diteruskan. Alhamdulillah, kami patuhi syarat ditetapkan universiti antaranya penonton tidak boleh berdiri sepanjang konsert.

"Biar apapun syarat ditetapkan, saya perlu harungi. Walaupun semua penonton duduk, saya terharu kerana mereka bertenaga," katanya.

Pada malam itu, Aina mempersembahkan hampir semua lagunya sendiri termasuk Terus Hidup, Sepi, Semalam, Sumpah, Shadow, Fool dan beberapa lagu Indonesia terkini yang dipersembahkan secara medley.

Tiket A Night With Aina Abdul #Uniedition di UM ditawarkan pada harga serendah RM60, RM75 dan RM100. Bahkan, 200 kerusi tambahan yang ditawarkan pada saat akhir konsert 'licin' dibeli penuntut UM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 6:49 AM