BAKAL adakan persembahan di Istana Budaya selepas hanya berada di kerusi penonton sebelum ini.
BAKAL adakan persembahan di Istana Budaya selepas hanya berada di kerusi penonton sebelum ini.
Najiy Jefri


JIKA dulu si empunya diri sekadar duduk di kerusi penonton setiap kali menyaksikan persembahan di Istana Budaya, kini penyanyi Aina Abdul berpeluang membuat persembahan di pentas berprestij itu.

Aina berkata, dia sering mengikuti persembahan atau konsert di Istana Budaya sejak di bangku sekolah lagi.

Bagaimanapun dia kini diberi kepercayaan untuk membuat persembahan sempena Konsert Patriotik Tanah Airku yang bakal berlangsung pada 6 November ini.

"Saya agak gementar, tetapi pada masa sama teruja. Kalau dulu sekadar menyaksikan konsert dari kerusi penonton, tetapi kini saya pula yang menghiburkan penonton di Istana Budaya.

"Saya juga bimbang sebab sudah lama tidak buat persembahan berskala besar yang membabitkan penonton. Namun saya akan cuba berikan yang terbaik pada konsert ini nanti," katanya.

Tambah Aina, dia menjanjikan sebuah persembahan istimewa pada malam konsert itu nanti.

Konsert itu disepatutnya dijadualkan berlangsung pada Ogos lalu sempena bulan kemerdekaan, tetapi terpaksa ditunda disebabkan pandemik Covid-19.

Selain Aina, konsert yang diserikan dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan turut menampilkan penyanyi Syamel, Ernie Zakri, Fitri Hiswady dan Hairi Safwan serta pendeklamasi puisi, Ahmad Shukri Abdullah.

Meskipun konsert itu berorientasikan patriotik, namun sudah disesuaikan untuk tontonan generasi muda.

Aina berkata, selain lagu patriotik, dia juga akan menyampaikan beberapa lagu sendiri yang berkaitan kebangkitan dan perjuangannya dalam kehidupan.

AINA amalkan gaya hidup untuk tampil langsing.
AINA amalkan gaya hidup untuk tampil langsing.

"Pat Ibrahim selaku pengarah konsert ini akan sesuaikan konsert dengan cita rasa anak muda.

"Bukan hanya menyanyi, terdapat beberapa slot berbeza yang bakal mewarnai persembahan hebat itu nanti," jelasnya.

Menyentuh perjalanan kariernya selepas ini, penyanyi yang mula meledak dengan lagu Sumpah itu merancang untuk tampil dengan single bahasa Inggeris sebelum penghujung tahun ini.

"Saya tahu, saya pernah berkata tidak akan tampil dengan single baharu lagi tahun ini selepas melancarkan lagu Semalam.

"Bagaimanapun, saya rasa ada sesuatu yang kurang dan saya masih lagi aktif berkarya, menulis lagu baharu hingga ke hari ini.

"Setakat ini saya tidak berjanji apa-apa kepada peminat, tetapi hati saya kuat mengatakan saya akan tampil dengan sebuah single baharu dalam bahasa Inggeris," katanya.

Dalam masa sama, Aina turut ditanya mengenai perubahan bentuk badannya yang semakin langsing, tanpa berselindung Aina mengakui mengamalkan gaya hidup sihat sejak Mei lalu.

Aina berkata, berat badannya sudah turun sebanyak 7 kilogram (kg) dan berhasrat menurunkan beberapa kilogram lagi untuk mendapatkan berat badan ideal iaitu 52kg.

"Tiada istilah mahu turun berat badan sebab netizen. Saya buat untuk diri sendiri. Sebagai penyanyi, saya perlukan stamina yang tinggi ketika beraksi.

"Namun saya tetap berterima kasih kepada netizen yang memberi teguran atau kritikan kerana kalau kita hanya dipuji, kita akan berasa selesa.

"Apa-apapun saya gembira dengan rutin kehidupan saya sekarang dan berharap dapat mencapai berat badan yang disasarkan," akhirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:00 AM