KHAI puas hati dapat hiburkan peminatnya.
KHAI puas hati dapat hiburkan peminatnya.
Syafil Syazwan Jefri


KONSERT Nafas Cinta yang berlangsung Sabtu lalu mencatat sejarah dalam lembaran perjalanan seni penyanyi dan pelakon, Khai Bahar.

Dihadiri sekitar 300 penonton, Khai meluahkan rasa teruja dan berpuas hati dengan acara yang berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC).

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan acara yang berlangsung pada malam ini (kelmarin). Bila tengok semua penonton berseronok dan puas, saya juga berkongsi rasa yang sama," katanya.

Tampil mempersembahkan 17 lagu, Khai memberikan persembahan penuh bertenaga di pentas konsert itu.

"Kalau nak diikutkan, ada banyak lagi lagu yang saya nak persembahkan di konsert ini. Namun, kami pilih senarai lagu yang terbaik dan sesuai untuk dipersembahkan.

"Selain lagu sendiri, ada juga lagu 'cover' yang saya nyanyikan dan itu adalah berdasarkan undian peminat dan pengikut di Instagram saya," katanya.

Selain mempersembahkan lagu secara solo, Khai juga tampil dalam persembahan duet bersama dua penyanyi hebat tanah air iaitu Adira Suhaimi dan Aina Abdul.

DUET antara Khai dan Aina sangat serasi.
DUET antara Khai dan Aina sangat serasi.

"Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Adira dalam satu acara persembahan. Jadi, malam ini (kelmarin) saya berpeluang untuk membuat persembahan duet dengannya.

"Kebetulan kami juga akan merakamkan single duet berjudul Pejam yang turut dipersembahkan dalam konsert ini.

KHAI harap peluang buat konsert lagi untuk peminat yang menyokongnya.
KHAI harap peluang buat konsert lagi untuk peminat yang menyokongnya.

"Dengan Aina pula, dia adalah penyanyi wanita yang sememangnya saya kagumi. Kalau nak diikutkan, saya nak menyanyi banyak lagu dengannya.

"Namun, kami ikut perancangan yang sudah diatur dan mempersembahkan lagu duet kami iaitu Nafas Cinta yang dipersembahkan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL36) nanti," katanya.

Memandangkan masih ramai peminatnya yang tidak berpeluang hadir kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta beberapa kekangan lain, Khai juga khabarnya bakal mengadakan Konsert Nafas Cinta 2.0.

"Insya-Allah, kalau ada peluang lagi saya nak adakan Konsert Nafas Cinta 2.0 memandangkan ada peminat yang tak dapat hadir di konsert ini,"katanya.

Terdahulu, Khai mempersembahkan beberapa lagu popularnya seperti Bayang, Luluh serta single baharu berjudul Damba yang mana muzik videonya turut dilancarkan secara rasmi pada Sabtu lalu ketika konsert itu berlangsung.

GANDINGAN duet Khai bersama Adira.
GANDINGAN duet Khai bersama Adira.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 6:30 AM