MURAH rezeki, Aedy syukur masih terima tawaran berlakon.
MURAH rezeki, Aedy syukur masih terima tawaran berlakon.
Norhayati Nordin


FILEM berkisar kanak-kanak, Tentang Bulan yang ditayangkan pawagam pada 2006 hingga kini pastinya masih diingati ramai. Apatah lagi, sekumpulan pelakonnya yang membintangi karya itu sudah pun menginjak dewasa.

Nama seperti Nik Adruce, Erin Malek, Fatin Afeefa dan Aedy Ashraf, siapa yang tidak kenal di persada seni tanah air. Masing-masing ternyata berjaya menempatkan nama dan bakat mereka dalam industri sehingga kini.

Malah, Aedy sendiri boleh dilihat kematangan lakonannya sudah berada di tahap tersendiri. Sehingga mampu dikata, berikan apa saja watak kepadanya sama ada sisi putih atau hitam, ia pasti dijaya dengan baik.

Bagi Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Zaedy Ashraf Rosmadi, 28, kecintaan yang besar terhadap kerjaya lakonan diceburi membuatkan dia sentiasa bersungguh-sungguh memberi yang terbaik dalam hasil kerjanya.

"Sudah 21 tahun pembabitan saya dalam kerjaya seni ini dan tak sangka juga dapat bertahan sampai sekarang. Saya amat bersyukur dengan perjalanan ini dan berterima kasih kepada semua yang menyokong saya.

"Saya memang cintakan

kerjaya seni ini dan selalu mencuba beri yang terbaik untuk kepuasan diri sendiri. Bagi saya, selama mana termampu boleh 'contribute' dalam karier ini, akan terus dipertahankan," katanya lagi.

Ditanya juga mengenai impian memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Aedy berkata, selama dia rancak memahat kukuh nama dalam industri, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk raih pengiktirafan dalam bentuk anugerah.

"Jujur diakui memang saya tak pernah impikan dan membayangkan untuk menang anugerah dalam lakonan. Tapi, pernah juga nama saya dicalonkan beberapa kali di acara anugerah yang dianjurkan.

"Untuk saya, memang tak pernah ada cita-cita tersemat di hati untuk dapatkan anugarah. Saya tak perlukan apa-apa (anugerah) kerana percaya pengiktirafan itu sebenarnya datang dalam pelbagai cara berbeza-beza.

"Walaupun saya masih tidak pernah menang sebarang anugerah, tetapi syukur alhamdulillah rezeki saya dalam kerjaya lakonan masih ada. Sampai sekarang, saya menerima tawaran berlakon dan itu sudah memadai dan buat saya gembira," katanya.

Menurut Aedy yang pernah tampil dengan lakonan menyayat hati dalam telefilem Imam Bisu pada 2014, dia lebih memilih keikhlasan bekerja kerana apabila tanggungjawab digalas tulus, hasilnya pasti baik.

AEDY sentiasa berusaha tampilkan lakonan yang tulus.
AEDY sentiasa berusaha tampilkan lakonan yang tulus.

Seorang yang berterus-terang dan sangat berani berkongsi sisi kehidupan peribadinya kepada peminat di media sosial seperti Instagram, Aedy berkata, dia tidak mahu menjadi hipokrit semata-mata untuk menjaga dan memuaskan hati orang lain.

"Saya lebih suka tunjukkan gaya hidup sendiri dan apa yang orang nampak saya pertontonkan di Instagram itu, ia adalah diri saya yang sebenar. Bagi saya lebih baik menjadi diri sendiri dan tidak perlu berpura-pura," jelasnya.

Biarpun sangat terbuka di media sosial, namun didapati Aedy juga tidak terpalit dengan kontroversi dan kisah sensasi murahan. Katanya, dia pun tidak menduga mampu mengelak kontroversi dan membawa diri dalam industri sebaik mungkin.

Ligat membintangi telefilem, drama dan filem, Aedy kini sibuk di lokasi drama terbaharunya di Seremban, Negeri Sembilan. Katanya, dia sangat bersyukur kerana rezekinya masih tidak putus-putus dan dapat pula bekerja dengan pasukan produksi yang bagus.

Kisah cinta kita

Berganding buat kali pertama dengan pelakon Amelia Henderson dalam drama Kisah Cinta Kita yang kini disiarkan slot Akasia TV3, Aedy berkata, dia tidak sangka mereka dapat mewujudkan keserasian bersama dengan mudah.

"Untuk drama ini, saya melakonkan watak Amer dan Amelia sebagai Aleesa. Karakter Amer ialah lelaki daripada keluarga berada, tetapi memiliki keperibadian diri yang kompleks. Namun, tidak sukar saya membawakan watak ini kerana naik turun emosinya tidak banyak.

"Cuma jalan cerita, plot dan konflik dimuatkan dalam drama ini menguatkan watak Amer itu. Malah, saya percaya penonton akan dapat menerima positif drama Kisah Cinta Kita yang dekat dengan kehidupan masyarakat," jelasnya.

GANDINGAN mantap Aedy dan Amelia dalam drama Kisah Cinta Kita di slot Akasia, TV3.
GANDINGAN mantap Aedy dan Amelia dalam drama Kisah Cinta Kita di slot Akasia, TV3.

Mempunyai 28 episod, Aedy berkata, drama Kisah Cinta Kita memulakan penggambaran pada April lalu, namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia dihentikan dari Jun sehingga September lalu dan masuk semula ke lokasi pada Oktober lalu.

"Berhadapan dengan PKP adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, disebabkan situasi sekarang yang terdedah dengan penularan Covid-19 membuatkan kita semua akur dan perlu sentiasa berhati-hati di mana saja berada.

"Apapun, saya tetap gembira dan bersyukur kerana dalam kekangan kerja dihadapi, drama ini dapat disiapkan juga penggambarannya. Sekali lagi, terima kasih kepada penonton yang menyokong drama ini," katanya.

Drama Kisah Cinta Kita yang diarahkan Riza Baharudin menampilkan barisan pelakon seperti Aedy, Amelia, Datuk Jalaluddin Hassan, Ikmal Amry, Daniella Sya, Khaty Azean, Arash Mohd dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:00 AM