Siti Nordiana
Siti Nordiana
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Kes perbicaraan saman penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 38, membabitkannya dengan lima sekawan sebanyak RM2.5 juta akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Oktober dan November tahun depan.

Peguam yang mewakili Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin berkata, pihaknya sudah mendapat tarikh perbicaraan kes dari pihak mahkamah iaitu pada 28 hingga 30 Oktober dan disambung pada 4 hingga 15 November tahun depan.

Lima sekawan disaman Siti Nordiana ialah penyanyi, Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof dan isterinya Nur Sheila Hassim; penyanyi Syura atau Zuraidah Badron; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.

Abang Azlan berkata, Siti Nordiana akan membawa lima saksi termasuk dirinya untuk kes perbicaraan itu nanti. Begitu juga dengan pihak defendan yang akan membawa sama saksi masing-masing.

"Walaupun kes perbicaraan saman ini dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, pihak kami akan mula semula dari awal dengan Siti Nordiana memberi keterangan dan membawa bersama saksi-saksinya di mahkamah untuk didengar semula di hadapan hakim.

"Setakat ini, semua dokumen sudah siap dan saya bersama Siti Nordiana hanya tunggu untuk ke mahkamah saja," katanya.

Abang Azlan berkata, sebelum perbicaraan bermula penghujung tahun depan, akan ada satu pengurusan kes secara dalam talian pada 16 Ogos depan.

"Pengurusan kes ini untuk memaklumkan perkembangan terkini kedua belah pihak sama ada sudah memfailkan semua dokumen atau ada tak dokumen yang mahu dimasukkan lagi.

"Jika nak diikutkan, pihak kami juga minta tarikh perbicaraan kes saman ini diawalkan tetapi tiada tarikh yang lapang untuk pihak mahkamah," katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana ketika dihubungi berkata, dia berharap kes perbicaraan saman itu berjalan lancar dan dipermudahkan.

"Kes ini juga mengambil tempoh hampir tiga tahun dan saya berharap ia dapat diselesaikan dengan segera untuk saya memberi tumpuan sepenuhnya pada karier seni," katanya.

Terdahulu, kes saman atas dakwaan fitnah membabitkan lima sekawan itu difailkan Siti Nordiana pada 30 Julai tahun lalu, selepas peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan bertarikh 26 Julai melalui serahan tangan dan emel kepada semua defendan yang menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam serta ganti rugi sebanyak RM200,000.

Namun, mereka gagal berbuat demikian dan pihak Siti Nordiana seterusnya menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan yang keseluruhan bernilai RM2.5 juta, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dalam samannya.

Konflik bermula selepas mereka membuat Instagram Live pada 20 Julai tahun lalu pada jam 11.58 malam melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila disertai empat defendan lain menerusi Instagram masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:23 PM