Wany Hasrita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Nabila Razali. FOTO ROHANIS SHUKRI
Wany Hasrita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Nabila Razali. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin


Rawang: Penyanyi Wany Hasrita, 30, kini hamil lapan bulan memilih untuk melahirkan anak sulungnya yang dijangka pada tarikh 13 Julai depan di ibu kota.

Wany berkata lebih mudah baginya melahirkan anak di sini kerana ada ibu disisi, selain suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun, 31, juga akan menjaganya ketika berpantang nanti.

"Insya-Allah, saya akan melahirkan anak di sini saja. Malah, suami akan datang menjaga saya dan anak ketika berpantang. Alhamdulillah, saya juga bersyukur tidak mengalami alahan teruk ketika mengandung ini.

"Cuma, saya tak boleh makan makanan bersup. Kalau dulu, saya suka sangat makan hidangan yang berkuah, tapi sekarang tidak lagi," katanya kepada Harian Metro yang ditemui pada majlis rumah terbuka Nabila Razali.

Ditanya jantina anaknya, Wany berkata dia memilih untuk merahsiakannya lagi, termasuk wajah anak juga akan dikongsikan apabila tiba masanya dan tidak terlalu awal selepas bersalin.

Mengulas dirinya yang hamil sendirian kerana suami bertugas sebagai juruterbang di Kuching Sarawak, Wany berkata, dia perlu kuatkan mental dan fizikal termasuk sentiasa memujuk hati kerana memahami tuntutan tugas suaminya.

"Apapun, saya meraikan Aidilfitri baru-baru ini di Sarawak bersama suami dan keluarga mentua. Seronok sangat sebab semua adik-beradik suami berkumpul dan hari-hari kami beraya.

"Saya balik ke sini pun pada 2 Mei lalu. Tapi, suasana hari raya dah habis," katanya.

Terdahulu, Wany dan suami bertunang pada 26 Februari sebelum bernikah pada Julai, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 5:49 PM