Penerbit program TV, Alif Farhan
Penerbit program TV, Alif Farhan
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Insiden klip video tular membabitkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri bertengkar dengan pasangan selebriti, Yana Samsudin dan suaminya, Fadzil Zahari yang dimuat naik di media sosial semalam hingga kini masih menjadi tanda tanya dan bualan hangat netizen.

Malah, kebanyakan netizen beranggapan video pertengkaran yang didakwa berpunca daripada kejadian pasu hiasan berharga hampir RM400,000 milik Aliff Syukri yang pecah di kediamannya itu hanya gimik bagi mempromosikan program raya dihoskan Yana.

Menerusi hantaran di Instagram Story penerbit program dikenali Alif Farhan memohon maaf kepada pihak media kerana terpaksa berdiam diri ketika ini untuk tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

"Minta maaf kepada semua rakan wartawan, saya sebagai penerbit terpaksa berdiam diri dari menjawab semua panggilan anda. Ini bagi mengelakkan daripada mengeruhkan lagi keadaan.

"Isnin ini (esok) saya dan juga lawyer (peguam) saya akan buat sidang media online (virtual) untuk menjelaskan tentang video yang telah viral (tular) itu," tulisnya berserta emoji mohon maaf.

Bagi pasangan Yana dan Fadzil pula turut bertindak mendiamkan diri apabila tidak membalas kiriman mesej dihantar, termasuk menjawab panggilan telefon.

Usaha Harian Metro yang turut mengirim mesej di WhatsApp kepada staf Yana dikenali Wawa juga tidak membantu apabila dimaklumkan pelakon itu tidak memberi sebarang maklum balas.

"Wawa pun terkejut juga semalam pasal cerita ni. Tanya bos (Yana) dia belum respond (balas), kalau dah balas nanti saya beritahu," katanya menerusi kiriman WhatsApp.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan paparan video dikongsikan Aliff Syukri di Instagram menunjukkan dia kelihatan berang dan bertindak meninggikan suara meminta Yana dan suami menggantikan perhiasan mewah berupa pasu dibelinya di China yang pecah.

Berlaku pertengkaran hebat antara Aliff Syukri dan Fadzil yang membuatkan keadaan bertambah kelam kabut, termasuk Yana seperti berusaha menenangkan suaminya yang sedang marah.

Menurut Alif Farhan yang menjadi saksi kejadian memaklumkan Yana memang terbabit dalam satu program hari raya yang diterbitkannya dan penggambaran dibuat di rumah Aliff Syukri dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 4:03 PM