Nenek Esah.
Nenek Esah.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemergian pelawak dan pelakon, Allahyarham Abam Bocey akibat demam panas di usia 32 tahun pada 10 Februari 2020 meninggalkan kesan besar buat Esah Lila @ Abdullah yang mengasaskan Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah di Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Esah, 68, yang mesra dengan panggilan nenek berkata, ketika hayatnya, Abam dan Allahyarham ibunya, Sabariah Arshad banyak membantu mereka dalam pelbagai perkara.

"Keluarga arwah Abam memang banyak membantu nenek dan anak-anak di pertubuhan. Sebelum kami mengenali Abam, ayah dan ibunya banyak membantu kami.

"Makan dan minum mereka sediakan sendiri dan berikan kepada kami. Bantuan ini kemudian diteruskan oleh Abam. Pesannya kepada nenek yang dipanggilnya ibu, segala apa yang diberikan jangan diceritakan kepada sesiapa pun.

"Apabila dia meninggal dunia pada tarikh itu, nenek terpaksa bercerita kepada media sebab itu adalah perkara baik, bukan cerita yang buruk," katanya ditemui pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Datuk Aishah & Ezad Lazim di sebuah hotel di Ampang, di sini.

Menurutnya, turut membantu mereka sebelum ini ialah dua anggota Bocey iaitu Achey dan Fad.

"Bila mereka berjaya dalam program Maharaja Lawak atau apa juga pertandingan, dia akan datang kepada nenek dan menghulur sumbangan kewangan, namun diminta jangan hebohkan.

"Rasanya sebelum Abam tinggalkan kami buat selama-lamanya, dia belikan baju sekolah kepada adik-adik di sini. Tapi selepas itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah ditutup.

"Jadi baju itu dipakai berselang-selang sehingga hari ini. Sekarang dah tiada lagi yang datang kepada nenek untuk hulur bantuan selepas arwah Abam," katanya.

Esah berkata, dia kini berdoa dan mengharapkan agar akan ada pelawak atau artis yang akan mewarisi sikap Allahyarham Abam.

"Sekarang sesekali nenek berjumpa adiknya, Ali. Dulu, Abam akan serahkan sendiri sumbangan. Sebelum sertai Maharaja Lawak, dia dah memasak makan minum untuk kami.

"Apa saja majlis walau sekecil mana pun, kamilah orang pertama yang disuruh makan. Nenek kenal keluarga dia bila berpindah ke Batu 8 3/4 Gombak. Mereka memang suka menjamu makan.

"Sekarang nenek bukan setakat sukar kehidupan kerana kewangan...bukan. Kami turut merasa kehilangan. Dulu bila nenek mengadu, Abam...ibu nak makan mi goreng, ibu nak makan nasi lemak, dia akan segera masakkan.

Semua dah tiada lagi. Nenek dah tak jumpa orang sepertinya," katanya yang mendoakan kesejahteraan Abam di sana.

Masyarakat boleh membantu Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah dengan cara membeli tiket menyaksikan persembahan Aishah dan Ezad Lazim pada 7 April nanti di Grand Barakah Hotel Ampang.

Selain berbuka puasa dengan penghuni rumah ini yang dibawa bersama, penganjur, Xutfilm Studio turut akan menyumbangkan 15 peratus hasil jualan tiket kepada rumah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 8:42 AM