Norhayati Nordin


PELAKON popular Fasha Sandha yang kini hamil berkongsi video Allahyarham Abam Bocey memasak mi rebus istimewa air tangannya untuk Fasha pada 26 Januari lalu.

Video pendek dimuat naik Fasha di Instagram itu memperlihatkan Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan sibuk di dapur memasak kuah mi rebus.

“Terima kasih Abam masakkan kami mi rebus. Teringin punya pasal,” tulisnya.

Selain itu, Fasha turut memuat naik beberapa gambar termasuk paparan skrin mesej WhatsApp di antara dia dengan Abam mengenai permintaannya supaya Abam memasakkan mi rebus untuknya.

“Sayu dengar perkhabaran pagi ni. Abam oh Abam, insan mulia sudi masakkan untuk kak pada tanggal 26 Januari sebab kak teringin nak makan mi.

“Lepas dua minggu dah pi (pergi) tinggalkan semua. Kak janji, selagi Allah izinkan, selagi kak mampu, kak akan jenguk Hamzah (anak Abam) selalu... Allahhuakbar, ” tulisnya.

Fasha turut meminta dan memohon semua pengikutnya di Instagram untuk menyedekahkan bacaan surah Al Fatihah kepada Allahyarham.

“Jom semua followers (pengikut) kesayanganku. Mohon sedekahkan Al Fatihah buat insan baik bernama Syed Umar Mokhtar atau Abam Bocey. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin,” katanya.

Abam dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 8.30 pagi hari ini.

Berita mengejutkan itu dimaklumkan adiknya, Ali Puteh selepas dihubungi isteri Abam memberitahu suaminya tidak sedarkan diri.

Abam dikatakan mengalami demam sejak dua hari lalu dan mengadu sakit kepala.

Abam meninggalkan isteri, Nor Hidayah yang dikahwini pada 2017 dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lima bulan.

Berita berkaitan

Abam Bocey meninggal dunia

'Kenapa kau pergi dulu Bam?'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 2:09 PM