Yana bersama suami dan anaknya.
Yana bersama suami dan anaknya.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Yana Samsudin, 39, tidak menyangka sudah tiba gilirannya hantar anaknya Aisy Mateen yang berusia tujuh tahun ke sekolah.

Malah Yana tidak boleh tidur semalam kerana risaukan hari pertama Mateen memasuki darjah satu.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin berkata sebelum ini selalu melihat orang lain siapkan anak. Kini dia rasa teruja merasa menguruskan anak sendiri.

"Malam tadi saya pula tak boleh tidur sebab takut ada yang tertinggal. Sudahlah semalam juga baru teringat nak gunting rambut. Kelakar, kelam kabut!

"Kita yang terlebih risau, terutama penggunaan tandas. Sebab sekolah masih guna tandas cangkung. Tapi sudah ajar dan pesan Mateen.

"Makan semua sudah siapkan malam tadi. Saya masak sup daging. Sebab sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) kena bawa bekal sendiri," katanya.

Yana bagaimanapun sangat bersyukur Mateen pun amat teruja mempersiapkan diri tanpa ada timbul rasa kerisauan pun memasuki persekitaran baharu.

"Tapi nampak Mateen okay, tak menangis. Dia tak sabar malam tadi bersama-sama sediakan persiapan macam letak beg dan kasut siap-siap depan pintu.

"Sudah beritahu malam mesti kena susun buku ikut jadual. Nak biasakan dan ajar dia buat sendiri. Takut mak dia nanti tiba-tiba sibuk pula," katanya.

Yana juga turut menasihati Mateen untuk jaga diri sebaiknya dan belajar penuh tekun di sekolah.

"Tapi sepanjang dalam kereta biasalah mak-mak ini berbakul pesanan. Suruh fokus dengar apa cikgu cakap. Kalau ada masalah beritahu cikgu. Semualah. Kesian pula, mesti penat otak dia tiba-tiba semua kena ingat," katanya.

Yana dan suaminya juga pelakon Fadzil Zahari, 40, sendiri menghantar Mateen ke sekolah pagi ini.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Februari 2015 dan selain Mateen, mereka turut dikurniakan cahaya mata kedua Aisy Sofea, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:37 PM