SEARCH kembali beraksi di Singapura selepas lebih 10 tahun.
SEARCH kembali beraksi di Singapura selepas lebih 10 tahun.
Ridzuan Abdul Rahman


LEBIH 10 tahun tidak beraksi di Singapura, kumpulan Search yang diketuai pemain gitar, Noordin Mohd Taib beraksi dalam Rock Klasik In Concert di Esplanade, Concert Hall, Sabtu ini.

Noordin Taib menyifatkannya sebagai rezeki kerana pada awalnya mereka tidak tersenarai dalam konsert itu.

Selain Noordin, Search turut dianggotai Kid (gitar), Denden Gonjalez (penyanyi), Yan (bass) dan Minn (dram).

"Tawaran sebenar dah dibuat kepada kami untuk konsert yang sepatutnya berlangsung pada akhir Disember tahun lalu. Cuma ketika itu tarikh tak kena kerana kami ada hal lain.

"Konsert itu pula ditunda dan kemudian ada salah satu band tarik diri. Kami bincang semula dengan penganjur yang undang menjayakan persembahan pada Sabtu nanti. Kami ambil slot itu dan saya anggap ia rezeki kami," katanya.

Menurutnya, mereka akan mempersembahkan lapan lagu buat peminat Kota Singa yang sudah lama dahagakan persembahan Search.

"Ini kemunculan pertama di Singapura dengan anggota sekarang selepas kali terakhir beraksi pada 2012. Ia dikira persembahan pengenalan sebelum konsert kami di sana Disember nanti.

"Saya percaya peminat Singapura merindui kemunculan kami di sana. Ketika Konsert Search Rockin' On Rooftop pun ramai peminat Singapura yang datang menonton.

"Yang tak dapat datang pula ada hubungi kami kata tunggu Search di Singapura. Malah, masa konsert kami di Penang Spice Arena, Pulau Pinang pada 24 Disember tahun lalu pun ada peminat Singapura turun," katanya.

Noordin melahirkan perasaan gembira kerana mereka sudah menjadi pengikut setia Search selepas Konsert Search Rockin' On Rooftop.

"Diikutkan peminat ini bercampur dengan peminat generasi baharu kerana ikut keluarga. Yang golongan lama pula tentunya ramai.

"Ini buat kami terfikir, akan datang nak perkenalkan harga pelajar kerana kadang-kadang mereka tak mampu beli tiket. Mereka nak tengok, tapi tak mampu.

"Untuk konsert ini, lapan lagu sedia ada akan disusun semula termasuk lagu yang baru dimainkan. Kami akan mainkan lagu yang peminat minta, tapi tak dapat dimainkan waktu kami bersama Search sebelum ini. Denden pun boleh bawa lagu ini, jadi kami pun mainkan," katanya.

Latihan untuk konsert terbabit sudah pun bermula dan Noordin berharap peminat memberi sokongan padu kepada mereka dengan hadir menonton.

Selain Search, Konsert anjuran RAB International ini turut menampilkan tiga penyanyi nama besar lain iaitu Ella, Gersang dan Majesty.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 6:45 AM