Joong Ki dan kekasihnya, Katy.
Joong Ki dan kekasihnya, Katy.
Agensi

Seoul: Pelakon Song Joong Ki, 38, berkongsi khabar gembira dia akhirnya bakal mengahwini teman wanitanya juga pelakon warga Britain, Katy Louise Saunders, 39.

Menerusi pengumuman dibuatnya, dia menyifatkan Saunders adalah jodoh tepatnya yang membawa sejuta kebahagiaan dalam hidup selama mengenalinya.

"Saya berjanji kepada Katy Louise Saunders, yang banyak menyokong saya dan meluangkan masa bersama, untuk melayari bahtera hidup bersamanya sehingga bila-bila.

"Dia memiliki hati yang cukup murni dan penuh kesungguhan dalam hidup. Dia bijak dan menakjubkan, saya sangat kaguminya. Terima kasih kepadanya, saya jadi insan yang jauh lebih baik," katanya.

Menurut bintang drama Vincenzo itu, mereka berjanji akan jadi sebuah keluarga terbahagia.

Mereka juga memutuskan untuk mendaftar perkahwinan mereka hari ini atas nama cinta agung.

"Terima kasih dari hati terdalam saya buat peminat yang tidak putus beri sokongan. Saya akan pamer lebih kesungguhan dan tanggungjawab menjadi pelakon serta individu terbaik," katanya.

Walaupun butiran hari bahagia mereka belum dikongsi, agensi Song Joong Ki memaklumkan pasangan itu merancang untuk adakan majlis perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 4:28 PM