Rosyam Nor
Rosyam Nor
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Siapa di sebalik akaun Tik Tok berkenaan? Terdesak sangat ke hendak mendapatkan 'like' dan 'followers'?." kata Datuk Rosyam Nor.

Rosyam yang juga pengarah dan penerbit meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa melanggar privasi keluarganya.

Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung akaun terbabit.

"Adakah ini cara untuk mendapat perhatian di media sosial? Mengapa apabila anak saya menghantar meninggalkan komen di akaun berkenaan, namun disekat oleh mereka?

"Saya tidak suka dan kurang gemar dengan apa yang berlaku ini. Selama ini saya tidak pernah memuat naik gambar isteri dan anak-anak bagi menghormati privasi mereka.

"Malah, pihak media juga sudah maklum mengenai perkara ini. Malah, saya sudah membuat laporan kepada MCMC untuk tindakan lanjut," kata Rosyam.

Selain Rosyam, beberapa akaun di Tik Tok turut memuatkan gambar keluarga Faizal Hussein, Farid Kamil dan banyak lagi.

Menerusi akaun berkenaan, pelakon lelaki ini menzahirkan ucapan penghargaan buat isteri mereka.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Duan Nago Bogho yang berlangsung di GSC, Starling Mall, baru-baru ini.

Selain Rosyam, filem arahan Sabri Yunus itu turut dibintangi barisan pelakon lain termasuk, Asrul Faizal, Jojo Goh, Saidi Sabri, Angeline Tan dan ramai lagi.

Duan Nago Bogho yang mengangkat kisah seorang anak seni tradisional Kelantan Mak Yong bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 2:28 PM