ROSYAM hingga kini masih tampil segak dan sasa.
ROSYAM hingga kini masih tampil segak dan sasa.
Norhayati Nordin


SEBUT saja nama Datuk Rosyam Nor, bakat lakonannya sudah dibuktikan hebat bukan saja dalam pasaran tempatan namun, dia turut berjaya mengorak langkah hingga ke India dan Hong Kong.

Rosyam sebelum ini pernah muncul membintangi filem Kabali pada 2016 di samping Rajinikanth dan baru-baru ini, filem G Storm lakonannya membariskan pelakon hebat Hong Kong seperti Louis Koo, Julian Cheung dan Kevin Cheng.

Bagaimanapun, Rosyam yang masih bertubuh sasa pada usia 54 tahun kerana begitu menjaga penampilan imej sebagai selebriti dikenali ramai, kini sudah memiliki empat orang cucu, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Dalam temubual bersamanya ketika dikurniakan cucu lelaki pada November lalu, Rosyam berkata kegembiraan dalam hidupnya pada usia sudah melewati 50 tahun cukup bahagia dan bermakna.

"Anugerah terindah yang diberikan oleh Allah dalam usia saya sekarang adalah nikmat paling besar dan sangat disyukuri. Apatah lagi, saya menimang cucu pertama ketika umur 46 tahun.

"Saya pun dulu berkahwin ketika umur muda dan Allah kurniakan lima cahaya mata perempuan. Sekarang, anak-anak saya semua sudah besar dan ada antaranya kini mempunyai keluarga sendiri," katanya.

Rosyam yang juga ahli perniagaan berjaya dan tetap aktif dalam dunia hiburan berkata dia akan terus berbakti sebagai insan seni selagi kemunculan diterima peminat. Katanya, darah seni juga sudah sebati dalam diri.

Ditanya mengenai gelaran 'datuk muda' pada kalangan peminatnya kerana penampilan segak dan sasa itu, Rosyam berkata dia positif dengan pandangan masyarakat. Katanya, dia memang menjaga imej selama ini.

"Saya dah terbiasa dengan imej sebegini. Ditambah, memang saya juga menjaga pemakanan dan mengamalkan kehidupan sihat. Bagi saya, menjaga kesihatan adalah paling utama.

"Lagi pula, setiap tahun usia kita akan meningkat dan menjaga pemakanan memang harus diambil kira. Apapun, saya tetap berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka ," katanya.

Rosyam yang mula berlakon pada 1980-an cukup terkenal dengan watak Remy lakonannya dalam filem Gila-Gila Remaja arahan Allahyarham Hussein Abu Hassan di samping pelakon utama, Faizal Hussein.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:20 AM