Vokalis kumpulan musik OAG, Radhi OAG.FOTO GENES GULITAH
Vokalis kumpulan musik OAG, Radhi OAG.FOTO GENES GULITAH
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Penyanyi kumpulan OAG, Radhi, 45, bersyukur diberi rezeki menemui cinta baharu dengan seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berusia 21 tahun walaupun sudah dua kali gagal dalam perkahwinan.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali berkata, walaupun jarak usia mereka 24 tahun, tetapi itu bukan masalah buatnya.

"Dia memang 'sempoi' dan dia juga tak ada akaun media sosial. Saya memang nak cari wanita yang macam itu. Namun, ini semua adalah perancangan saja untuk hubungan kami ke fasa seterusnya.

"Saya kalau boleh tak nak kongsi sangat berkenaan kisah cinta. Ini kerana biarlah yang ketiga ini jadi jodoh terakhir dan apabila sampai masa nanti, saya akan kongsi kepada semua," katanya.

Radhi berkata, dia juga tidak mahu berkongsi secara terperinci mengenai perkenalan mereka kerana mahu kekasihnya itu fokus dalam pengajian sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Saya terbuka hati untuk bercinta lagi kerana dia dapat terima diri saya seadanya. Dia kenal diri saya 'A to Z'. Begitu juga cara pergaulan dan percakapannya, dia tahu apa yang boleh dan tidak boleh.

"Apapun, saya tekankan ini semua adalah perancangan. Saya juga masih dalam usaha untuk perbaiki diri. Lagipun, kes perbicaraan dengan bekas isteri masih berjalan. Beberapa kali saya ajak bincang secara baik, tapi dia pilih jalan begini (undang-undang).

"Sekarang, saya nak bersihkan nama. Harapan saya, kebenaran akan terbukti apabila tiba masanya. Kalau betul saya buat, saya akan mengaku. Tapi, saya serah semuanya pada pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, Radhi dan bekas isteri, Nur Shahira Ayu Zahiri atau Ayu, 28, bercerai talak satu pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.

Mereka berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 8, dan Muhammad, 6.

Sebelum itu, Radhi juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim, 17.

Dalam perkembangan lain, OAG juga bakal tampil dengan Festival Konsert OAG 30 Tahun Generasiku pada 25 Disember ini di Stadium Malawati, Shah Alam sempena tiga dekad pembabitan OAG dalam industri muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 3:43 PM