RITHAUDDEEN
RITHAUDDEEN
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan nasyid Rabbani, Rithauddeen Yaakob dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) malam tadi akibat masalah kesihatan ketika sedang bermain badminton.

Anggota Rabbani, Mohd Asri Ubaidullah berkata, Rithaudeen mengalami sedikit pendarahan dalam kepala tetapi tidak perlu menjalani pembedahan buat masa ini.

"Percakapannya masih lancar, cuma di bahagian mukanya ada tanda-tanda stroke (angin ahmar). Doktor kata ada sikit pendarahan tapi tak perlu pembedahan. Harapnya begitulah.

"Saya ada menghubungi anaknya tapi belum ada perkembangan lanjut. Anaknya pun tak dibenarkan tunggu di hospital," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Asri berkata, Rithaudeen yang agak keletihan berehat di tepi gelanggang sebelum rakan-rakan lain menghubungi ambulans dan membawanya ke hospital.

"Keadaannya dalam sedar ketika dibawa ke hospital. Anggota Rabbani, Fendi tinggal di Sungai Buloh dan biasanya selalu main badminton dengan Rithauddeen. Dia segera ke hospital dan mendapati anak Rithaudden turut berada di situ," katanya.

Menurutnya, Fendi sempat masuk bertemu Rithauddeen selepas doktor selesai buat pemeriksaan dan berbual dengannya.

Mohd Asri berkata, mereka hadir ke majlis kesyukuran kumpulan Inteam petang semalam dan ketika itu Rithauddeen nampak biasa dan sihat.

"Selesai majlis saya terus balik Seremban. Lepas Subuh pagi ini barulah saya tengok telefon dan membaca mesej," katanya.

Mohd Asri berkata, Rabbani akan terbabit dengan satu persembahan di Putrajaya esok dan buat masa ini Rithauddeen akan direhatkan.

"Kami nak pastikan dia benar-benar sembuh sepenuhnya. Paling kami risau ialah Rabbani akan terbabit dengan

Konsert 25 Tahun Simponi Kesyukuran Rabbani di Johor hujung bulan ini. Bagaimanapun jika dia belum pulih sepenuhnya, kami akan biarkan dia berehat," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Facebook Rithauddeen mendapati rakan-rakan mula menitipkan kata-kata semangat buatnya.

"Bersama-sama team Badminton Monday BC, kudratnya kurang dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bahagian kecemasan & trauma.

"Sempat juga ziarah dan minta bantuan saudara (Doktor bahagian kecemasan) untuk dapatkan info awal kesihatan Abg Deen.

"Alhamdulillah sedikit pendarahan dan tak memerlukan pembedahan, perlu ubat, pantauan doktor dan fisioterapi lanjutan," tulis rakannya, Fakhrul Radzi yang juga anggota kumpulan nasyid If- One

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:23 PM