Azizan Khalid
Azizan Khalid
Najiy Jefri

Petaling Jaya: Bekas anggota kumpulan nasyid Rabbani, Azizan Khalid, 46, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), di sini, jam 10 pagi semalam.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 48, berkata, Allahyarham sepatutnya menerima keputusan hasil ujian saringan Covid-19 hari ini, tetapi pagi semalam dia mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital.

"Semalam isteri arwah memaklumkan Azizan tiba-tiba mengalami sesak nafas selepas sarapan kira-kira jam 8.30 pagi dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Namun, dalam jam 10 pagi, dia disahkan meninggal dunia.

"Sebenarnya dia mengalami demam hampir seminggu dan tidak kebah-kebah. Jadi, kelmarin dia pergi melakukan ujian calitan Covid-19 dan diberikan gelang merah jambu untuk menjalani kuarantin di rumah.

"Sekarang doktor belum lepaskan jenazah sebab nak buat bedah siasat untuk tahu punca kematian sama ada disebabkan serangan jantung atau virus Covid-19, " katanya.

Menurut Azadan, sekiranya Allahyarham bebas jangkitan Covid-19, pihak keluarga boleh bersama menguruskan jenazahnya.

"Pihak hospital maklumkan kalau Allahyarham meninggal dunia disebabkan Covid-19, mereka akan uruskan majlis pengebumian. Namun, jika meninggal dunia akibat serangan jantung, wakil ahli keluarga dibenarkan untuk sama-sama uruskan jenazah," katanya.

Azadan berkata, sepanjang 30 tahun mengenali arwah, dia memang tidak menghidap sebarang penyakit serius dan seorang yang sentiasa ceria.

Difahamkan, jenazah Azizan akan dikebumikan di kampung halamannya di Behrang, Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.

Azizan menyertai Rabbani yang popular dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali pada 1997 sebelum meninggalkan kumpulan nasyid itu pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 4:47 PM