FAREZ Adnan ketika menjalani prosedur gastric balloon di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini.
FAREZ Adnan ketika menjalani prosedur gastric balloon di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Farez Adnan nekad menjalani prosedur gastric balloon dengan kos RM15,000 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, selepas tertekan akibat tidak dapat menurunkan berat badan.

Farez, 27, atau nama sebenarnya Muhd Fareezuan Adnan berkata, menambahkan lagi tekanan itu apabila dia perlu memenuhi kehendak pasaran industri hiburan tanah air yang mana perlu memiliki fizikal menarik atau kurus.

"Sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, berat saya naik 20 kilogram (kg). Selepas itu, saya berdiet dan dapat turunkan 18 kg. Kemudian, PKP sekali lagi dan berat naik semula.

"Saya ambil keputusan berjumpa doktor dan saya diberikan ubat bagi membantu mengurangkan berat badan, tapi ketika PKP terakhir, berat naik hingga mencecah 125 kg dan hingga sekarang sukar nak turun.

"Diakui, menjadi artis memang kena memiliki penampilan menarik, disebabkan itu, saya menjadi tertekan. Malah, majikan di syarikat rakaman pun mencadangkan saya untuk kuruskan badan sebelum single baharu dilancarkan. Jadi, saya berjumpa doktor dan mendapatkan khidmat nasihat," katanya.

Menurutnya, dia dicadangkan untuk membuat prosedur potong usus atau bariatrik tetapi sebab usia masih muda, doktor mencadangkan pula prosedur gastric balloon.

"Saya pun berbincang dengan kedua ibu bapa, dan mereka menyerahkan kepada saya. Akhirnya, saya nekad dan prosedur dijalankan pada Jumaat lalu.

"Prosedur hanya mengambil masa dalam 20 minit dengan memasukkan 'balloon' bersaiz 550cc dari mulut," katanya.

Menurut Farez, keputusan itu dibuat sebagai usaha untuk menempatkan dirinya dalam industri hiburan tempatan.

Menurutnya, dia juga mengalami masalah pemakanan iaitu 'eating disorder' yang membuatkan dirinya sentiasa berselera dan makan tidak berhenti.

"Selain faktor untuk menjaga penampilan, saya juga ada masalah kesihatan lain. Selepas kemalangan pada Julai lalu yang mengakibatkan tulang ekor patah, saya perlu mengambil ubat tahan sakit.

"Sejak itu berat badan naik mendadak ditambah pula saya mengalami masalah pemakanan 'eating disoder'. Saya sentiasa lapar dan kalau makan tu susah nak berhenti.

"Kalau masalah ini tidak ditangani, ia pasti mendatangkan kemudaratan pada diri. Sampai satu tahap, saya akan memuntahkan semula makanan. Itu sebab saya buat prosedur ini yang mana antara usaha saya untuk kuruskan badan," katanya.

Dia berkata, sebelum itu, dia memang sudah bersedia dengan segala risiko.

Menurutnya, hasil daripada prosedur itu boleh dilihat dalam tempoh sebulan hingga dua bulan.

"Buat masa sekarang saya dinasihati untuk tidak makan makanan berbentuk pepejal. Kalau tidak, saya akan muntah.

"Minum air pun sikit saja dan boleh kenyang, jadi sepanjang sebulan ini saya boleh kawal pemakanan. Cuma rasa letih, sebab makanan tidak cukup dalam badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 3:35 PM