FILEM Black Panther: Wakanda Forever ada keistimewaan untuk tarik ‘kaki wayang’ ke pawagam.
FILEM Black Panther: Wakanda Forever ada keistimewaan untuk tarik ‘kaki wayang’ ke pawagam.
Wan Asrudi Wan Hasan


Peminat filem adiwira Amerika pastinya ternanti-nantikan sekuel berdasarkan watak Komik Marvel, Black Panther ini. Ia turut melakar sejarah sebagai filem ke-30 dalam senarai Marvel Cinematic Universe (MCU).

Sekalipun idea untuk menghasilkannya hanya bermula selepas filem Black Panther dikeluarkan pada awal 2018 dan disahkan oleh Marvel Studio mengenai perkembangannya pada 2019.

Namun ketiadaan bintang Black Panther iaitu Chadwick Boseman yang meninggal dunia akibat barah usus pada Ogos 2020 membuatkan segala perancangan pengarah merangkap penulis skrip Ryan Coogler terpaksa berubah.

Menerusi Black Panther: Wakanda Forever, Coogler berjaya menghadirkan pelbagai emosi yang cukup memberi kesan pada peninggalan Boseman sebagai Raja T'Challa.

Filem ini juga boleh dikatakan sebagai tribute buat mendiang Boseman menerusi upacara pengebumian T'Challa yang diadakan dengan penuh bermakna dalam suasana hiba di Wakanda.

Adik T'Challa, Shuri lakonan Letitia Wright turut membawakan watak dengan baik sebagai seorang ahli sains dan tonggak penting dalam kebangkitan serta melindungi kerajaan Wakanda.

Begitu juga penampilan pelakon kelahiran Amerika Syarikat, Angela Bassett sebagai Permaisuri Ramonda yang bergandingan baik dengan Shuri.

Sudah pasti legasi ditinggalkan T'Challa mempunyai keistimewaan tersendiri.

Difahamkan terdapat juga cadangan mewujudkan karakter baru bagi menggantikan Boseman namun ada diantaranya termasuk barisan pelakon berasa seperti janggal dan mereka menganggap hubungan sesama pelakon sangat akrab.

Ketiadaan bintang itu nyata dirasai seluruh pasukan begitupun kewujudan karakter baharu seperti Namor lakonan Tenoch Huerta dan Riri Williams (Dominique Thorne) dengan kostum Ironheart berjaya memberi impak besar dalam filem itu.

Begitu juga penampilan beberapa pemimpin dan pahlawan kerajaan Wakanda seperti Nakia (Lupita Nyong'o), Okoye (Danai Gurira) dan lawak jenaka daripada M'Baku (Winston Duke) yang mula menampakkan sisi tarikan mereka.

AKSI pertempuran dalam filem Black Panther: Wakanda Forever.
AKSI pertempuran dalam filem Black Panther: Wakanda Forever.

Filem kali ini turut memaparkan bagaimana ketua kerajaan Wakanda melindungi negara mereka daripada ancaman musuh dan kehadiran kuasa baharu dari kerajaan laut yang dikenali sebagai Talocan diteraju Namor.

Watak Namor seorang mutasi yang juga ketua atau raja kerajaan laut disifatkan oleh Coogler mempunyai kekuatan fizikal dan kelebihan tersendiri.

Namun disebabkan Namor adalah makhluk dua alam yang boleh hidup di darat dan dalam laut ia hanya memberikannya satu kelebihan alternatif unik berbanding karakter.

Penampilan Riri juga membuatkan penonton ternanti-nanti apabila watak seorang remaja yang bijak dan sering tampil dengan dialog yang mencuit hati.

Riri seorang genius ketika berusia lima tahun. Kebijaksanaannya ini akhirnya membuahkan hasil apabila Riri menerima biasiswa dari M.I.T (Massachusetts Institute of Technology) ketika berumur 15 tahun dan mula menjalankan projek-projek persendiriannya sebagai hobi.

Namun, permulaan baharu Riri sebagai seorang genius ini dipenuhi dengan tragedi apabila ayah angkatnya dan satu-satunya kawan baiknya terkorban dalam satu kes tembak-menembak ketika mereka sedang berkelah. Kematian mereka ini mendorong motivasi Riri untuk menetapkan misi demi untuk membantu komuniti superhero dan menjalankan tanggungjawab bagi melindungi masyarakat dari ancaman bahaya.

Riri turut memainkan peranan penting dalam membantu mempertahankan kubu kerajaan Wakanda ketika peperangan yang tercetus.

SHURI watak penting dalam menjaga keamanan Wakanda.
SHURI watak penting dalam menjaga keamanan Wakanda.

Shuri sebagai teraju utama memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian dan keamanan Wakanda daripada musuh.

Sekalipun dikuasai dendam dan kesedihan namun Shuri menunjukkan teladan yang baik sehingga tidak meletakkan dendam mempengaruhi keputusannya dalam menentukan sesuatu.

Dari segi aksi pertempuran filem ini ternyata memberikan tahap kepuasan yang baik namun dari segi imej janaan komputer yang digunakan bagi dasar laut nampak kurang mencengkam.

Apa yang pasti 'Wakanda Forever' harus menjadi pilihan kaki wayang yang mahu melihat kelainan tersendiri salah satu filem adiwira ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 6:20 AM