Nas T.
Nas T.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon, DJ dan pengacara, Nas-T, 39, mengakui dia belum pernah mendapat watak hero dalam filem walaupun sudah 15 tahun bergelar pelakon.

Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin berkata, dia ada keinginan untuk melakonkan watak hero, namun sedar tiada 'kuasa' dalam penentuan watak diterima.

"Sebagai pelakon yang sering membawakan watak aksi, saya berharap suatu hari nanti dapat menjadi hero dalam filem dilakonkan. Insya-Allah, sekiranya ada rezeki.

"Saya juga sedar status diri sebagai pelakon saja dan tiada kuasa untuk memilih watak diberi. Cuma, ini sekadar harapan saya. Tak dapat jadi hero pun tak mengapa," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nas-T yang kini muncul dalam siri mini enam episod, Astana di YouTube berkata, dengan pengalaman berlakon lebih sedekad itu, dia juga agak memilih watak agar tidak 'melekat' dengan watak yang sama saja.

"Saya suka mencari kelainan dari segi watak supaya penonton tidak jemu. Jadi, kini saya agak memilih supaya tidak selalu disogok dengan watak sama yang pernah dilakonkan sebelum ini.

"Saya mahu penonton tahu bahawa saya seorang pelakon serba boleh. Malah, tidak hanya tertumpu pada filem bergenre aksi semata-mata. Saya juga boleh melakonkan watak-watak lain," katanya.

Pada 25 Ogos lalu, Nas- T muncul dengam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di pawagam yang mendapat kutipan 'box-office' lebih RM20 juta.

Kini, dia membintangi pula filem The Original Gangster arahan Syamsul Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 3:07 PM