FILEM Pinocchio disajikan kepada kanak-kanak sejak 1883.
FILEM Pinocchio disajikan kepada kanak-kanak sejak 1883.
Syafil Syazwan Jefri

Filem animasi, Pinocchio tentunya tidak lagi asing buat pelbagai generasi memandangkan karya itu sudah disajikan kepada kanak-kanak sejak 1883 lagi.

Tahun demi tahun, pelbagai versi karya dihasilkan, dari pementasan, animasi, sehinggalah ke dalam bentuk filem live action yang kini sedang ditayangkan.

Terbaharu, Pinocchio kini sedang ditayangkan di platform digital Disney+ Hotstar dan lebih menarik, ia turut diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Berkesempatan menemubual tiga bintang yang menjadi pelakon suara serta penyanyi versi Bahasa Melayu dalam filem animasi ini, Harian Metro mencungkil kisah pengalaman mereka bekerja dalam projek ini.

Nama Khaireel Akasya mungkin belum cukup dikenali, namun, suaranya mengisi watak utama iaitu Pinocchio dalam versi Bahasa Melayu.

"Ini adalah kali pertama saya terbabit sebagai pelakon suara. Sebagai persediaan, saya tak minum minuman berais. Kemudian, saya elakkan makan aiskrim dan banyakkan minum air masa.

"Ketika dimaklumkan bahawa saya akan terbabit dalam projek ini, tentunya saya rasa sangat gembira dan teruja. Mana tidaknya, saya juga adalah penonton Pinocchio dan sepanjang hidup saya, tiga kali saya dah tonton," katanya.

Ditanya mengenai babak yang paling mencabar buatnya saat menjalani proses rakaman suara, Khaireel berkongsi ceritanya.

"Bahagian paling mencabar adalah untuk menjayakan babak ketawa. Memang ia sangat mencabar. Bahkan, pengarah suara perlu menggeletek saya, barulah saya dapat ketawa dan menjayakan babak itu.

"Babak yang bagi saya agak mencabar adalah ketika perlu menangis. Banyak kali juga ambilan (take) yang perlu diambil," katanya.

Ditanya mengenai pengajaran daripada kisah Pinocchio, Khaireel menegaskan mengenai sikap jangan menipu.

"Dari sudut pengajaran, saya rasa, filem Pinocchio jelas sekali memberikan pengajaran kepada kanak-kanak supaya melakukan perkara yang baik. Jangan menipu lebih-lebih lagi kepada ibu bapa. Nanti, 'hidung panjang'. Saya nak ajak semua pembaca Harian Metro untuk sama-sama menyaksikan filem ini.

"Ini adalah pengalaman menyeronokkan dan berharga buat saya. Harapan saya, semoga selepas ini saya dapat terbabit dalam projek sebegini lebih banyak di masa akan datang.

SUKI pelakon suara untuk watak Fabiana dan bonekanya, Sabina.
SUKI pelakon suara untuk watak Fabiana dan bonekanya, Sabina.

Bagi penyanyi, Suki Low pula, kali ini, dia menggalas tanggungjawab sebagai pelakon suara untuk watak Fabiana dan bonekanya, Sabina.

"Untuk watak Fabiana dan Sabina, ini adalah watak baharu yang tidak ada dalam versi original Pinocchio sejak sekian lama. Jadi, dalam filem terbaharu ini, kemunculan Fabiana dan bonekanya, Sabina umpama satu tambah nilai dalam jalan ceritanya.

"Proses rakaman suara berjalan dengan sangat lancar kerana pihak produksi dan pengarah suara tahu hala tuju dan apa yang mereka mahukan. Lirik untuk bahagian nyanyian juga, semuanya sudah disediakan.

"Dari segi kualiti, saya boleh katakan bahawa pihak produksi sangat teliti. Bahkan, pernafasan pun mereka jaga dan ini menjadi pengalaman berharga buat saya," katanya.

Tambah Suki, dia sangat berbangga kerana dapat membawa bahasa kebangsaan ke peringkat antarabangsa menerusi karya ikonik ini.

"Jika anda tanya perasaan saya, saya rasa sangat teruja dan berbangga kerana Pinocchio adalah karya yang ikonik. Tambahan pula, saya juga adalah peminat watak-watak dan karya Disney.

"Sebagai anak Malaysia, menjadi kebanggaan buat saya kerana diberi peluang untuk membawa Bahasa Kebangsaan ke satu peringkat antarabangsa dan ditayangkan di platform yang luas seperti Disney+," katanya.

Berkongsi mengenai pengalamannya sebagai pelakon suara, Suki mengakui bahawa pengalaman kali ini lebih berbeza.

"Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai pelakon suara untuk beberapa karya seperti Snow White dan Brave. Pengalamannya berbeza berbanding pengalaman saya dalam projek Pinocchio ini.

"Contohnya, ketika membawakan suara Snow White, ia lebih ke soprano. Untuk Fabiana pula, lebih serak dan pada masa sama, perlu kedengaran lebih remaja, sesuai dengan watak itu," katanya.

Suki juga menekankan mengenai pengajaran yang patut diambil oleh penonton daripada filem Pinocchio ini.

"Tiga perkara yang ditekankan oleh The Blue Fairy adalah, kena berani, berguna dan tak boleh pentingkan diri sendiri. Saya rasa, ketiga-tiganya sangat dekat dengan hati saya.

"Bukan sahaja saya selalu terapkan kepada anak-anak, tetapi, saya rasa semua orang boleh kaitkan dengan nilai-nilai ini contohnya, dalam situasi untuk membuat keputusan dan sebagainya.

"Sentiasa berfikir sebelum melakukan sesuatu atau membuat keputusan dan fikirkan kesannya bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga orang di sekeliling," katanya.

LIANA jadi penyanyi versi Bahasa Melayu untuk watak The Blue Fairy.
LIANA jadi penyanyi versi Bahasa Melayu untuk watak The Blue Fairy.

Bagi penyanyi, Liana Jacklon yang menjadi penyanyi versi Bahasa Melayu untuk watak The Blue Fairy, pengalaman pertamanya ini memberi pelbagai ilmu baharu buatnya dalam seni alih suara.

"Ini kali pertama saya diberi tanggungjawab untuk menyanyikan lagu versi Bahasa Melayu daripada OST filem animasi. Jadi, ini menjadi pengalaman manis buat saya.

"Yang mencabarnya adalah, bagaimana saya nak pastikan, unsur-unsur daripada lagu asal itu tetap ada walaupun diberi sentuhan asli daripada saya sendiri.

"Selalunya, bila masuk studio untuk merakamkan lagu sendiri, kita menyanyi berdasarkan kreativiti kita sendiri. Tapi, untuk projek alih suara ini, kita perlu mengikut versi original yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu.

"Lirik lagu semuanya sudah disediakan dan dirakamkan dua versi. Jadi, pihak produksi memilih satu yang terbaik," katanya.

Liana berharap agar penonton dapat melihat pengajaran dan iktibar daripada kisah animasi ini.

"Kita semua sedia maklum bahawa filem ini sangat dekat dengan hati kita semua memandangkan ia cukup terkenal. Jadi, bila saya sendiri dapat rakamkannya dalam Bahasa Melayu, bahasa kebanggsaan kita, saya dapat rasa bahawa ia lebih dekat di hati.

"Umpamanya, kisah yang dipertontonkan adalah kisah kita. Saya harap, penonton Pinocchio dapat mengambil iktibar contohnya, lebih menghargai hubungan persahabatan dan orang di sekeliling kita," katanya.

Filem Pinocchio dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Tom Hanks, Benjamin Evan Ainsworth, Joseph Gordon-Levitt, Cynthia Erivo, Keegan-Michael Key, Lorraine Bracco, Luke Evans dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 1:33 PM