Persembahan Ifa Raziah di Terpaling Juara. FOTO Aizuddin Saad
Persembahan Ifa Raziah di Terpaling Juara. FOTO Aizuddin Saad
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Semangat dan komitmen tinggi ditunjukkan peserta 'otai' Terpaling Juara, Ifa Raziah ternyata mendapat pujian tonggak produksi program hiburan TV3 itu.

Penerbit program, Azrul Effendi Abdullah berkata, Ifa adalah peserta yang paling menunjukkan komitmen tinggi dalam melakukan persediaan sebelum persembahan secara langsung sekalipun dikecam hebat sejak Ahad lalu.

"Orang ramai hanya nampak dan menilai sisi yang negatif daripada Ifa. Tapi, sejujurnya, dalam ramai-ramai peserta, dia yang paling bersemangat dan sangat berikan komitmen.

"Dia yang akan datang paling awal, untuk lihat dan sesuaikan dengan pentas, dan dia juga yang akan balik paling lewat. Dia mahu memberikan persembahan terbaik.

"Kami, pasukan produksi memang nampak usaha dan kerja keras dia," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Azrul, dia juga dimaklumkan oleh Ifa bahawa dia ingin berikan persembahan terbaik di konsert minggu keempat yang akan berlangsung Ahad ini.

"Minggu ini, dia ingin sampaikan lagu Purnama, yang juga lagu yang dipopularkan kaptennya, Naim Daniel dengan sebaik mungkin kerana pada minggu lalu, dia berada dalam kumpulan dua terbawah.

"Kami pihak produksi pun cuba membantu dengan menambahkan guru vokal dan beberapa benda untuk bantu Ifa kerana kami nak cungkil sisi berbeza Ifa Raziah berbanding yang kita sering lihat," katanya.

Ifa sebelum ini dikecam hebat selepas persembahannya didakwa sumbang di samping beberapa aspek seperti pakaian yang mengganggu persembahannya ketika menyanyikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 4:04 PM