Zaynakal ketika sidang media pengumuman lima calon akhir AIM23 di Dadi Cinemas, Pavillion. FOTO AZIAH AZMEE
Zaynakal ketika sidang media pengumuman lima calon akhir AIM23 di Dadi Cinemas, Pavillion. FOTO AZIAH AZMEE
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Zynakal sudah menghalalkan wang royalti sebanyak RM120,000 yang dilesapkan orang yang terdekat dengannya.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 23, berkata, walaupun pada awalnya dia mahu menuntut semula wang yang diambil, tetapi selepas mengambil kira pelbagai faktor, dia menghalalkan wang itu. "Saya tak tahu apa jadi dengan kes itu sekarang. Memang pada awalnya saya nak tuntut semula wang itu tapi saya sudah halalkan.

"Walaupun jumlahnya besar, tapi saya pernah terhutang budi dengannya selain nak mengelak diri dari diungkit. Bagi saya, kalau RM120,000 ditukar kepada 120,000 orang depan mata saya sekarang, saya cuma minta mereka sedekahkan bacaan surah al-Fatihah untuk arwah ibu saya saja. Jadi sebab itu jugalah saya halalkan," katanya. Menurut Zynakal, insiden malang yang menimpanya itu juga membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

"Fobia atau trauma adalah pengajaran untuk saya. Saya tak nak salahkan sesiapa tapi salahkan diri sendiri di mana mungkin saya pernah buat silap dulu. Namun, saya akui fobia untuk berkawan dan sukar mempercayai kawan-kawan di sekeliling saya," katanya.

Mac lalu Zyn meluahkan rasa marah di media sosial berkaitan kehilangan wang royalti lebih RM120,000.

Dia juga berkongsi paparan skrin aplikasi perbankan yang menunjukkan baki akaun berjumlah RM19.15.

Katanya, tindakan kenalannya itu juga melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 4:33 PM