Sebahagian peminat BLACKPINK hadir menyaksikan persembahan konsert maya BLACKPINK in your Area di PJPAC, 1 Utama. FOTO OWEE AH CHUN
Sebahagian peminat BLACKPINK hadir menyaksikan persembahan konsert maya BLACKPINK in your Area di PJPAC, 1 Utama. FOTO OWEE AH CHUN
Georgie Joseph


Petaling Jaya: Fight Esports Malaysia menganjurkan konsert maya BLACKPINK in your Area dalam perisian permainan telefon pintar pertama yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), di sini, hari ini.

Pengurus projeknya, Muhammad Ariff Abu Zarin berkata, acara itu bertujuan memperkenalkan lagi peminat K-Pop khususnya Blinks iaitu kelab peminat BLACKPINK terhadap dunia 'gaming'.

"Kita tahu pengikut K-Pop di Malaysia sememangnya cukup besar. Jadi, kami adakan kerjasama dengan BLACKPINK untuk realisasikan konsert berbentuk maya ini kepada Blinks.

"Kami mahu memberikan mereka pengalaman baharu menonton konsert BLACKPINK dalam bentuk perisian permainan dalam talian. Berbeza dengan konsert fizikal, konsert ini lebih praktikal ketika ini.

"Selain itu, kami mahu buktikan bahawa dunia 'gaming' ini sebenarnya sangat menyeronokkan. Ia boleh dinikmati bukan setakat 'gamers' tetapi juga orang biasa," katanya.

Menurut Ariff, mereka juga ingin menangkis diskriminasi terhadap sukan 'gaming' serta pandangan orang terhadap mereka yang berkecimpung serius sebagai 'gamers'.

"Kami ingin menunjukkan bahawa dunia 'gaming' adalah sesuai untuk sesiapa saja. Kami tidak mahu berlaku diskriminasi terhadap bidang 'e-sports' dan dipandang sinis.

"Saya percaya ada juga dalam kalangan Blinks menjadi 'gamers' tetapi mahukan yang lain turut mengenali lagi bidang ini," katanya.

Pada acara itu, lebih 400 peminat BLACKPINK hadir untuk menyaksikan konsert maya berkenaan.

Rata-ratanya bersemangat merasai sendiri pengalaman baharu itu.

Dihoskan Hani Fadzil, pelbagai aktiviti turut diadakan selain konsert. Antaranya kuiz dalam talian, segmen tunjuk bakat, serta persembahan daripada penghibur jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 4:31 PM