Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Nak buat iklan di papan iklan mahal, harga di televisyen pun sama."

Itu kata Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali ketika ditanya mengenai filem terbitan syarikatnya Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang tidak membuat sebarang iklan di platform utama.

Bagaimanapun, filem arahan Syamsul Yusof itu mampu mencipta fenomena dengan sambutan luar biasa hingga mencapai kutipan RM80 juta selepas 25 hari tayangan.

Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, dia mempunyai pasukan sendiri yang menggerakkan aktiviti promosi dan pemasaran menerusi platform media sosial. 

"Memang ada perancangan untuk buat iklan di TV dan stesen radio, tapi disebabkan wajib tayang sudah dekat ketika itu, jadi tak boleh nak buat. Papan iklan pula harga mahal, TV pun sama. Disebabkan itu lebih banyak menggunakan media sosial yang mana kami menayangkan 'teaser' pendek filem ini. Alhamdulillah, saya ada pasukan sendiri yang menggerakkan, ia juga berkesan. 

"Apa yang kita sajikan kepada penonton adalah produk yang bagus. Apabila mereka tengok, nak tengok lagi hinggakan ramai yang berkongsi di media sosial. Ini juga sangat membantu filem Mat Kilau untuk terus ditonton hingga sekarang. 

"Dalam masa sama, filem ini sesuai untuk tontonan semua. Ia merentas masa dan usia. Isu yang dipaparkan juga sesuai dan dekat di hati. Ia menjadi pakej untuk filem ini menarik selain daripada kandungan, jalan cerita, pengarahan, skrip dan lakonan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mampu menewaskan kutipan filem paling laris yang ditayangkan di Malaysia iaitu Avaengers: Endgame yang mengutip RM87 juta, Abdul Rahman yakin dengan perkara itu.

"Saya difahamkan sekatat semalam saja iaitu pada hari ke-25 tayangan, filem ini mengutip RM2.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan lebih RM81 juta. Berdasarkan sambutan yang diberikan sehingga hari ini, saya fikir boleh atasi Avengers: Endgame.

"Bukan apa, saya perasan ada yang tak tengok lagi selain ramai yang tengok banyak kali. Malah, tempahan panggung juga masih banyak. Setakat ni tak ada lagi dengar pihak panggung mengurangkan jumlah skrin. Secara keseluruhan lebih kurang 140 panggung termasuk di Singapura dan Brunei. Jadi, tak mustahil mungkin boleh mencecah RM100 juta," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 5:49 PM