Muaz dan Qaseh Anita yang bertunang, semalam.
Muaz dan Qaseh Anita yang bertunang, semalam.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon drama Takdir Yang Tertulis, Muaz Fitri Maslan, 31, selamat bertunang dengan kekasih juga pengurusnya, Qaseh Anita, 46, di kediaman keluarga wanita itu di Felda Serting, Negeri Sembilan, semalam.

Muaz dihubungi berkata majlis itu membabitkan acara merisik dan bertunang yang dibuat sekali gus sebagaimana memenuhi kehendak keluarga kedua-dua pihak. Katanya, majlis itu hanya dihadiri ahli keluarganya seramai tujuh orang.

"Alhamdulillah, saya dan Qaseh sudah selamat bertunang semalam. Ia majlis kecil yang mengikut adat sebagaimana diminta oleh keluarga kami. Sebenarnya, ikutkan saya dan Qaseh, nak terus bernikah saja.

"Tapi, atas permintaan keluarga agar mengikut adat, iadakan terus acara merisik serta bertunang sekali. Insya-Allah, jika semua berjalan lancar kami akan bernikah pada hujung tahun ini juga,' katanya kepada Harian Metro.

Mengulas pula mengenai penerimaan bakal anak tirinya, Hilman, 24, Muaz berkata dia gembira hubungan direstui pemuda itu, ibu bapa serta keluarga mereka walaupun Qaseh Anita berstatus ibu tunggal dan perbezaan jarak usia, 15 tahun.

"Apabila ibu bapa dan keluarga sudah merestui hubungan kami, itu yang penting. Jadi, saya tak ambil peduli pun cakap-cakap orang yang mendakwa Qaseh sudah agak berusia untuk saya dan bermacam-macam lagi. Bagi saya, jodoh kami adalah ketentuan Allah.

"Saya terima Qaseh seadanya dalam hidup saya, begitu juga dengan dia. Paling penting lagi, saya tak ambil isteri orang, tunang orang ataupun pasangan orang. Qaseh adalah wanita yang dah lama jadi ibu tunggal ketika saya mengenalinya," katanya lagi.

Menurut Muaz, jika dia terlalu ambil kira semua cakap-cakap orang pasti hubungan mereka tak ke mana dan terus membujang. Katanya, sebelum bertunang mereka juga sudah rapat selama empat tahun dan tidak manis jika berterusan tanpa ikatan perkahwinan.

"Alhamdulillah, selama ini saya selesa dengan Qaseh dan yakin, insya-Allah dia adalah jodoh yang Allah hadirkan buat saya. Jadi, hanya kami yang saling mengenali antara satu sama lain dan keluarga pun menerima baik," katanya.

Muaz yang aktif berniaga selain berlakon sudah membintangi banyak drama antaranya Misiku Kuza musim pertama, Baby Ana Milik Siapa, Seharum Kasih, Aurora Aisyah, Lara Syakila, Origami, Dosa Semalam, Cari Aku Di Syurga Takdir Yang Tertulis dan terbaharu, Melastik Ke Hatimu 2 untuk TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 1:19 PM