MUAZ bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Qaseh.
MUAZ bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Qaseh.
Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon drama Takdir Yang Tertulis, Muaz Fitri, 30, masih mencari tarikh sesuai untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasih yang juga pengurusnya, Qaseh Anita, 45.

Walaupun jarak usia mereka 15 tahun, ia tidak menghalang keikhlasan Muaz yang kini cukup dikenali dengan watak Hakim dalam drama berkenaan untuk jatuh cinta dengan Qaseh dan memperisterikannya.

"Kami sudah bercinta lama dan sebenarnya merancang berkahwin tahun lalu. Bagaimanapun, disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sepakat menangguhkannya sehingga situasi pulih. "Namun, sampai sekarang Covid-19 masih belum reda dan kami berusaha mencari tarikh sesuai untuk bernikah. Apapun, sekarang kami sibuk dengan urusan perniagaan masing-masing.

"Qaseh kini sibuk dengan urusan syarikat produksinya, manakala saya giat menjalankan perniagaan menjual baju bersama rakan kongsi, Bella. Buat masa ini kami masih mencari tarikh untuk pernikahan itu," katanya.

Menurut Muaz atau nama sebenarnya Muaz Aidil Fitri Maslan, dalam situasi sekarang, mereka merancang melakukan majlis akad nikah sahaja dahulu dan majlis resepsi perlu ditangguhkan.

Ditanya mengenai persediaannya untuk bergelar suami dan berumah tangga, Muaz berkata, dia memang sudah lama bersedia untuk berkahwin, malangnya bakal tunangnya sebelum ini meninggalkannya.

"Saya dan Qaseh memang tiada masalah langsung dengan perbezaan usia. Bagi saya, kami berdua serasi dan selesa bersama. Malah, kami juga saling menyokong," katanya.

Berbicara mengenai watak Hakim lakonannya, Muaz berkata, ia watak antagonis yang agak menarik.

Katanya, disebabkan Hakim itu, dia menerima pelbagai kecaman hebat daripada warganet yang menonton drama Takdir Yang Tertulis.

"Saya tak terkilan dan geram pun apabila dikecam teruk. Cuma, tak sangka watak Hakim yang jahat itu menjadi dan membuatkan penonton marah. Terima kasih kerana terima lakonan saya," katanya.

Muaz sebelum ini pernah membintangi drama seperti Misiku Kuza musim pertama, Baby Ana Milik Siapa, Seharum Kasih, Aurora Aisyah, Lara Syakila, Origami, Dosa Semalam dan Cari Aku Di Syurga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 5:16 PM