Nizam Jentik-Jentik.
Nizam Jentik-Jentik.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya sokong tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Biar siasatan dibuat," kata pelawak Nizam Jentik-Jentik mengulas operasi sitaan terhadap Crackhouse Comedy Club semalam yang terbabit dengan kontroversi baru-baru ini.

   Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nornizam Mohd Yusof berkata, mungkin peristiwa ini menjadi 'turning point' untuk golongan pelawak memperbaiki diri.

   "Dengan sebab benda ini, industri komedi akan lebih maju dan lebih patuh syariah serta lebih mesra peminat selepas apa yang berlaku sekarang.

   "Kalau boleh kita tambah baik kekurangan supaya industri komedi tidak terus berkubur. Saya nak yang terbaik untuk industri stand up komedi tanah air," katanya kepada Harian Metro. 

   Nizam, 41, seorang arkitek mengasah bakat sebagai stand up komedi sejak 2015. Dia sering beraksi di lokasi berubah-ubah antaranya di Comedy Club.

   "Awalnya saya buat di Lawak Studio, Puchong yang khas untuk orang kita dan dibuat dalam bahasa Melayu. Apabila ia ditutup, saya kena berpindah randah. 

   "Kadang-kadang saya buat show sendiri dan kadangkala ke Crack House. Namun kebanyakan saya buat sendiri, sewa tempat, panggil penonton dan buat.

   "Saya akan pergi Crack House semasa program open mic. Ia untuk 'polish material' beraksi dalam tempoh beberapa minit," katanya.

  Selain bekerja tetap, anggota kumpulan Bahye yang turut dianggotai Zahid dan Shashic yang menduduki tempat keempat dalam Maharaja Lawak Mega 2021 ini turut aktif sebagai pelawak dan pengacara.

   "Saya tak boleh naik pentas tanpa persediaan. Jadi, saya cari material baru dan praktikkan di kelab komedi. Kalau orang gelak kiranya ia berjaya. Ini ibarat saya 'polish' barang. 

   "Saya dah sertai open mic sejak enam tahun dan lebih bercerita mengenai keluarga dan diri sendiri. Itu lebih disukai penonton," katanya yang enggan mengulas lanjut apa yang berlaku. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 9:55 PM