Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Filem Malbatt : Misi Bakara berjaya mengatasi kutipan Paskal The Movie dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dengan mencatat kutipan sebanyak RM32.5 juta selepas lima minggu tayangan sejak 24 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Operasi GSC Movies merangkap Penerbit Eksekutifnya, Tung Yow Kong berkata, pihaknya berpuas hati dengan kutipan filem itu setakat ini.

"Seperti yang pernah pihak kami nyatakan sebelum ini, harapan kami adalah untuk memperbaiki kutipan filem terbitan kami sebelum ini. 

"Malah, kutipan filem Malbatt: Misi Bakara setakat ini juga sudah berjaya mengatasi filem terbitan kami sebelum ini iaitu Paskal The Movie (RM30.8 juta) dan Air Force The Movie : Selagi Bernyawa (RM30.6 juta)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya sampai bila filem Malbatt : Misi Bakara akan ditayangkan, kata Yow Kong, selagi ada permintaan dari penonton pihaknya akan terus menayangkan filem itu di pawagam tempatan.

"Pihak kami sentiasa berlapang dada dan berterima kasih dengan sambutan penonton pada filem terbitan GSC." katanya.

Mengulas perancangan untuk tayangan filem itu di platform OTT seperti Netflix pula, kata Yow Kong lagi, buat masa ini, pihaknya masih menumpukan tayangan di pawagam.

"Filem ini juga masih ditayangkan di pawagam tempatan.

" Namun, jumlah pawagam pastinya sudah berkurangan kerana filem ini sudah lebih sebulan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air.

"Selepas tamat tayangan di pawagam, barulah pihak kami bersedia untuk umumkan tayangan di platform lain," katanya.

Filem arahan Adrian Teh ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Tony Eusoff, Syazwan Zulkifli, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Nafiez Zaidi, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, G Theebaan, Safwan Nazri dan Ikhram Juhari.

Ia berdasarkan dari kisah benar mengenai operasi tentera Malaysia membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 10:16 PM