Along dan isterinya.
Along dan isterinya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Keadaan isteri saya alhamdulillah baik. Dia memang diberi kebenaran untuk bagi buah pinggang pada saya sebab dia tiada sakit apa-apa.

   "Buah pinggang kanannya diberikan untuk dimasukkan ke sebelah kiri pinggang saya. Yang sebelah kanan keadaannya 90 peratus bagus. Manakala yang sebelah kiri 96 peratus. Bacaan 96 peratus dikira bagus,".

   Demikian kata pelakon Along Eyzendy, 43, mengulas proses pemindahan buah pinggang isterinya, Hamidah Mohd. Yatim, 38, yang mendermakan buah pinggang kepadanya 15 April tahun lalu.

  Menurutnya, selepas sedar dari Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memberitahu keadaannya okey dan air kencingnya banyak. 

   "Maksudnya ia berfungsi elok. Keadaan isteri saya pun okey. Dia keluar wad seminggu selepas pembedahan, manakala saya sebulan. 

   "Cuma saya nampak dia macam cepat penat sekarang. Masalah senggugutnya pun datang balik. Dulu sebelum kahwin memang dia ada sakit ini. Lepas dapat anak dia hilang. Apapun kesihatan dia okey. 

   "Selepas setahun pembedahan, kesihatan saya makin okey. Badan pun berisi semula. Cuma saya kena berjumpa doktor sebulan sekali. Kalau bacaan darah tak okey saya akan 'warded'," katanya yang ditemui pada sidang media teater Muzikal Moyang Salleh di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) jalan Ampang, semalam.

    Teater arahan Roslee Mansor terbitan Karyawan Negeri Sembilan ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26 hingga 31 Ogos ini.  

   "Saya akan membawakan watak sebagai Si Amat, utusan Moyang Salleh ke Johor. Lama saya tak beraksi di Istana Budaya dan kebanyakan yang terbabit adalah rakan teater.

   "Jadi saya rasa tergerak untuk ikut sekali bersama. Saya sebenarnya dah mula bekerja. Saya beritahu produksi saya sihat, tapi saya akan jumpa doktor  bila perlu dan kalau doktor kata saya kena tahan di wad saya akan ikut.

   "Tapi tak lama dalam dua tiga hari kerana doktor nak pantau bacaan darah. Kalau ia naik, saya kena masuk wad dan tengok bacaan. Kalau dah okey, saya boleh keluar. Saya kena jaga pemakanan," katanya yang bergelar pensyarah mengajar subjek makyung  di Aswara. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 11:28 AM