Azadan Abdul Aziz
Azadan Abdul Aziz
Ridzuan Abdul Rahman

 

 Kuala Lumpur: Pengumuman Raya mengejut pada Ahad lalu meninggalkan kesan terhadap ketua kumpulan Rabbani iaitu Azadan Abdul Aziz. 

   Akibat bertungkus lumus menyiapkan juadah Raya, Azadan, 49, mengalami masalah sakit pinggang yang serius sehingga terpaksa dibawa berjumpa doktor.

    "Biasalah...semua orang sibuk buat persiapan memandangkan kita 'Raya mengejut'. Jadi masing-masing beraya betul-betul. 

   "Bila dengar pengumuman besok nak raya, suasana agak kelam kabut. Saya pun sibuk masak pelbagai menu dan rebus ketupat sampai jam 4 pagi baru siap. 

   "Esoknya saya terus beraya macam biasa. Pagi raya kedua sebenarnya tiada apa-apa, okey sahaja. Saya duduk atas sofa, membongkok ambil handphone jatuh dan duduk semula," katanya kepada Harian Metro.

   Menurutnya apabila hendak bangun ke dapur, dia terasa pinggangnya seakan direntap dan meletup berbunyi kuat.

   "Saya kemudian terduduk semula terus sakit tak boleh bangun. Ketika itu juga saya teramat panik. Ia kali pertama saya kena. Selepas itu saya

dah tak boleh bangun. 

   "Tengahari itu saya dibawa ke klinik dari Semenchu ke Bandar Penawar yang biasanya ambil 10 minit sahaja. Tapi kali ini ia ambil masa sejam setengah kerana jalan yang amat sesak ditambah ada kemalangan pula. 

   "Selepas itu anak saudara saya berunding dengan doktor minta turun kerana saya pun tak larat tak boleh bergerak sangat. Nak bongkok dan buat apa pun tak boleh. Pergerakan kena berhati-hati," katanya.

   Dia bersyukur kerana doktor datang ke keretanya buat pemeriksaan dan bagi suntikan.

   "Doktor bagi ubat dan ubat tahan sakit minta saya makan. Katanya semalam (Rabu) kalau tak okey dia suruh datang X-Ray. Tapi malam itu, saya urut juga, selain makan ubat tahan sakit dan terus tidur. Pagi semalam rasanya agak okey dan apabila petang keadaan saya semakin baik.

   "Doktor kata saya alami masalah urat dan otot. Tapi nak kata saya angkat benda berat semasa malam Raya tak juga. Tapi agaknya benda dah nak kena. Mungkin juga faktor pemakanan tak betul dan sebab nak membongkok buat saya jadi begini.

   "Dah masuk dua hari, saya masih sakit tapi boleh bangun. Apapun saya hanya berehat di rumah. Ia tak pernah terjadi sebelum ini. Cuma sakit lebih teruk yang saya kena sebelum ini ialah batu karang di buah pinggang ketika buat persembahan di Kuantan sekitar dua tahun lalu," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 7:46 PM