Aeril Zafrel berjaya jual Lamborghini Aventador dengan harga RM2.1 juta
Aeril Zafrel berjaya jual Lamborghini Aventador dengan harga RM2.1 juta
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kereta mewah Lamborghini Aventador milik pelakon terkenal Aeril Zafrel berjaya dijual dengan harga RM2.1 juta.

Aeril, 35, atau nama sebenarnya Suhairul Sunari berkata, hasil jualan kereta itu turut disalurkan pada Misi Kemanusiaan di Gaza, Palestin.

"Kereta ini saya dah gunakan sejak setahun lalu. Walaupun jarang dibawa berjalan, tapi ia tetap memberikan nilai sentimental. Apatah lagi ia adalah hadiah daripada isteri tercinta.

"Cuma bila memikirkan di rumah pun sudah ada beberapa kereta lain yang lebih kerap digunakan, saya ambil keputusan untuk jual Lamborghini ini. Isteri pun okay saja.

"Dalam masa sama, saya dah pasang niat kalau kereta ini terjual, sedikit hasilnya saya nak sumbangkan pada tabung bantuan kemanusiaan di Gaza. Insya Allah, dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan di sana," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, memiliki kereta itu sudah memenuhi impiannya selama ini.

"Sebelum ini saya memang ada terfikir nak beli sendiri. Selalu juga tengok di Internet dan YouTube. Malah, pernah cakap pada isteri nak beli kereta ini. Waktu itu dia tak bagi sebab masih banyak perkara dan komitmen lain perlu diselesaikan.

"Mungkin sudah saatnya dan dia pun beli. Saya pula jenis yang suka nak merasa, dua tiga tahun selepas itu tukar kereta lain pula. Sekurang-kurangnya dapat memenuhi impian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 1:09 PM