Zali Rusli
Zali Rusli
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Adik penyanyi popular, Haqiem Rusli iaitu Zali Rusli, 17, kini sudah bersedia mengikut jejak abangnya untuk bergelar penyanyi.

Anak bongsu dari empat beradik ini berkata, dia mendapat sokongan penuh keluarganya termasuk Haqiem untuk menceburi bidang nyanyian.

"Saya tak pernah sertai pertandingan nyanyian seperti abang yang masuk program Idola Kecil tapi saya yakin mempunyai bakat semula jadi.

"Saya aktif menyanyi di Instagram dan kini mempunyai sekitar 15,000 pengikut yang sering memberi sokongan setiap kali saya buat sesi 'live'.

"Nyanyian saya mendapat perhatian syarikat rakaman FMC yang menawarkan saya sebagai artis mereka. Konsep nyanyian saya ialah lagu rancak," katanya kepada Harian Metro.

Zali sudah menghasilkan single pertama berjudul Pewangi ciptaan Haqiem yang dikeluarkan tahun lalu. "Sambutan pendengar agak menggalakkan juga. Namun, agak malang sebab apabila single ini keluar, Instagram saya kena godam sedangkan pengikut saya ketika itu hampir 30,000.

"Saya memang kecewa kerana terpaksa buat Instagram baharu yang kini sudah mengumpul 15,000 pengikut," katanya.

Zali berkata, single keduanya berjudul Kamu Cantik Malam ini juga ciptaan Haqiem.

Katanya, lagu itu tercipta ketika mereka duduk berbual.

"Haqiem sedang bermain gitar dan tiba-tiba menyuruh saya menyanyikan lagu yang dihasilkannya. Lagu ini kena dengan suara saya dan Haqiem minta saya merakamkannya sebagai single kedua," katanya.

Zali yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia mampu membahagikan jadual sebagai pelajar dan penyanyi.

Ditanya sekiranya karier nyanyiannya dibayangi Haqiem, Zali berkata, dia mahu menjadi diri sendiri. "Memang ramai yang kata suara kami sama. Bagi saya, suara Haqiem lain dan saya mempunyai suara tersendiri. Namun kami saling menyokong antara satu sama lain dalam bidang seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 12:48 PM