DARI kiri Pudin, JM, Athul, Zali, Yazid dan Boy.
DARI kiri Pudin, JM, Athul, Zali, Yazid dan Boy.
Ramlah Zainal


BERBEZA dengan kumpulan lain, Tale Of Six Soulmate atau TOSS memiliki kelebihan untuk mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.

Apa yang menarik, anggota kumpulan ini juga masih berkhidmat dengan perkhidmatan awam iaitu jabatan kastam, imigresen dan bomba.

Buat permulaan, TOSS mempertaruhkan single pertama berjudul Pencipta Rasa yang juga genre pop alternatif.

Ahmad Razali Abdul Razak atau Zali selaku ketua kumpulan berkata, single itu dihasilkan pada awal Februari lalu.

“Ia berdasarkan idea daripada anggota kumpulan ini membabitkan beberapa elemen, contohnya genre, susunan lirik dan melodi yang sesuai untuk konsep band. Proses rakaman single ini berlangsung pada Ogos lalu dan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk disiapkan. Ia juga disusun dengan lebih terperinci oleh Sheikh Qalam dan Along Exist,” katanya.

Selain Zali yang juga pemain gitar kedua, kumpulan ini dianggotai Zainathul Suhada Musa atau Athul (penyanyi), Shahripudin Mohd Kifli atau Pudin (gitar utama), Ahmad Rosli Abdul Razak atau Boy (keyboard), Jeremy Maxwell atau JM (bass) dan Md Yazid Md Yusuff atau Yazid (dram).

Mengenai kekuatan single itu pula, kata Zali, ia hasil karya kumpulan itu sendiri.

“Pencipta Rasa juga mempunyai aura tersendiri kerana ia mudah difahami dan mesra pendengar. Lagu ini juga sudah diperdengarkan sebagai eksperimen awal kepada lebih 50 rakan yang bergiat dalam bidang seni dan mendapat sambutan yang baik.

“Jadi tidak mustahil lagu ini mampu mendekatkan kumpulan TOSS kepada penggemar muzik tanah air,” katanya.

Zali berkata, Pencipta Rasa juga mengetengahkan genre pop alternatif yang menekankan bunyi setiap instrumen digunakan.

“Selain itu, pembawaan vokal Athul sangat penting bagi memastikan kesepaduan lagu dihasilkan. Melodi yang dibawakan juga tidak terlalu berat dan mudah diingati pendengar dengan lirik yang ringkas serta diharapkan mampu menarik peminat,” katanya.

Zali berkata, lagu itu menceritakan individu yang mencari erti dalam sebuah perhubungan hingga mendorongnya menjejaki kekasih hati sedangkan dia tidak pernah mengenali mahupun bersua muka dengannya.

“Keadaan itu memaksanya sentiasa bersabar dan menantikan kekasihnya itu muncul dalam hidupnya. Boleh dikatakan ia mengenai kisah cinta yang belum disahut.

“Lagu ini juga baru sebulan dilancarkan dan boleh diakses di semua platform muzik. Setakat ini, pendengar memberikan maklum balas positif pada single ini,” katanya.

Berpusat di Johor Bahru

Bukan mudah membahagikan masa antara kerjaya tetap dan muzik untuk bergerak seiringan.

Kata Zali, pembahagian masa adalah perkara yang sangat kritikal bagi setiap anggota TOSS, tetapi ia bukan halangan untuk menceburi bidang muzik.

“Sesi latihan akan dijalankan sekurang-kurangnya sekali seminggu selepas waktu bertugas. Kami akan memastikan latihan yang dijalankan tidak mengganggu tugas setiap anggota.

“Kami juga aktif memenuhi undangan persembahan di sekitar Johor Bahru sama ada ‘busking’ dan band antara jabatan,” katanya.

Mengulas cabaran pula, kata Zali, kumpulan itu berpusat di Johor Bahru dan mereka terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur setiap kali ada undangan persembahan.

“Proses rakaman single Pencipta Rasa juga mengambil tempoh lama di studio di Damansara. Namun, demi minat mendalam dan mencari tapak dalam bidang muzik tanah air, kami sanggup melalui semua cabaran itu,” katanya.

Terdahulu, video nyanyian Athul ketika menyanyikan lagu Jepun Mirae (Kiroro) dengan memakai seragam anggota kastam pernah tular di laman sosial tidak lama dulu.

Kini kumpulan yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu di Johor Bahru ini bernaung di bawah label Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:25 AM