FAZLI tampil dengan single baharu Mantan Yang Terluka.
FAZLI tampil dengan single baharu Mantan Yang Terluka.
Norhayati Nordin


Walaupun muncul dengan single baharu berjudul Mantan Yang Terluka pada September tahun lalu, namun penyanyi Fazli Zainal akur karier seninya tidak sehebat dulu ketika hadir dengan lagu Harapan pada 2005.

Fazli, 44, berkata, ditambah dengan penularan Covid-19 yang tidak berpenghujung ini membuatkan pelbagai aktiviti untuk promosi dan publisiti lagu berdepan kekangan.

"Memang saya ada tampil dengan single baharu sebagai pengubat rindu, tapi dari segi promosi dan publisiti saya tak boleh nak buat menyeluruh seperti dulu. Sekarang kena lebih berhati-hati sebab wabak Covid-19.

"Dengan adanya varian Omicron ini lagi saya perlu berwaspada sebab status bekas pesakit Covid-19 yang masih dalam proses pemulihan. Apatah lagi, paru-paru saya sudah mengalami kerosakan teruk," katanya.

Menurut anak jati Johor ini, dia turut bersyukur tawaran menyanyi masih diperoleh. Cuma katanya, tidak begitu banyak kerana sekarang pun penganjuran majlis atau acara hiburan agak terhad.

"Apa pun, saya selesa bersyukur saja dengan rezeki kurniaan Allah. Bagi saya, Allah maha tahu dan sebaik-baik perancang. Kita sebagai hamba-Nya kena sentiasa yakin dan teruskan usaha.

"Setakat ini, saya terima saja rezeki yang ada. Malah, untuk lagu saya walaupun tak dimainkan di stesen radio, tidak mengapa kerana saya masih boleh promosikan di platform lain.

"Sekarang kita pun dah ada platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok. Malah, saya lihat video dimuat naik di TikTok lebih mendapat perhatian ramai terutama golongan muda," katanya.

Fazli berkata, biarpun jauh di sudut hati dia mahu lagunya diperdengarkan di radio, namun tetap akur bahawa setiap stesen radio itu mempunyai kelompok sasaran pendengar masing-masing.

"Saya seorang yang tidak suka menuding jari kepada pihak lain. Bagi saya, rezeki Allah ini luas dan kita kena positif serta terus mencuba. Jadi, untuk lagu saya itu tetap diusahakan promosinya melalui acara persembahan yang disertai dan platform media sosial saya," katanya.

Fazli yang juga bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama pada 2014 mengakui dia juga tidak terus bergantung dengan populariti program itu kerana hakikatnya dia tetap kena berusaha sendiri.

Katanya, dalam hidup ini kita perlu bergantung harap kepada Allah dengan sentiasa mengingati-Nya dan berdoa kepada-Nya.

Menurut Fazli, dia kini lebih selesa bermuhasabah diri ke arah kebaikan.

Terdahulu, Fazli pernah dirawat selama 29 hari di Hospital Ampang mulai 31 Julai tahun lalu selepas tahap oksigen di dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat dijangkiti Covid-19.

Namun, pada 5 November tahun lalu dia sekali lagi dikejarkan ke hospital dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), sebuah pusat perubatan di Shah Alam selepas tekanan darahnya naik mendadak kerana tekanan kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:20 AM