Fazli Zainal
Fazli Zainal
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Fazli Zainal, 44, bersyukur kesihatannya semakin pulih dari Covid-19 walaupun masih mengalami beberapa gejala akibat 'long covid'.

Fazli ketika dihubungi berkata, dia melihat perkembangan pemulihan kesihatannya untuk sembuh sangat banyak kerana penjagaan pemakanan diamalkan termasuk mengambil beberapa makanan sunnah tambahan berasaskan habbatus sauda.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya beransur pulih. Tempoh hari doktor maklumkan sekurang-kurangnya ambil masa enam bulan.

"Februari ini baru saya cukup enam bulan kalau dikira dari tarikh keluar hospital pada 29 Ogos tahun lalu. Namun, tempoh pemulihan ini sebenarnya dijangka dari enam bulan hingga setahun," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai trauma dihadapi, Fazli berkata, mungkin ada kerana dia turut mengalami 'anxiety' (keresahan) dan susah tidur malam.

"Selain itu barangkali kesan sampingan dari rawatan Covid-19 juga, saya mengalami masalah rambut gugur hingga sekarang. Malah, ada bahagian di kepala saya sebelah belakang kiri mengalami tompok botak yang dipanggil alopesia.

"Bagi merawatnya, saya menggunakan tonik rambut. Alhamdulillah nampak juga perubahan apabila ada sedikit rambut mula tumbuh di kawasan yang botak itu," katanya.

Menurut penyanyi yang dikenali dengan lagu Harapan ini, bagi masalah pernafasan pula dia masih tidak boleh berjalan dengan laju memandangkan paru-parunya sudah rosak teruk kira-kira 75 peratus akibat jangkitan Covid-19 itu.

"Keadaan paru-paru saya masih lagi dalam proses nak sembuh dan pulih. Maklumlah, 75 peratus dah rosak dan tentunya untuk baik semula memerlukan masa lama. Bahagian yang rosak itu pasti takkan boleh baik dengan mudah dan cepat," katanya.

Fazli dirawat selama 29 hari di Hospital Ampang mulai 31 Julai tahun lalu selepas tahap oksigen dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat dijangkiti Covid-19.

Pada 5 November lalu, Fazli dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Shah Alam apabila tekanan darahnya naik mendadak kerana tekanan kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 1:57 PM