KHAI sekadar berpuas hati dengan anugerah pilihan peminat di pentas AJL. FOTO Aswadi Alias
KHAI sekadar berpuas hati dengan anugerah pilihan peminat di pentas AJL. FOTO Aswadi Alias
Najiy Jefri


BIARPUN pembabitan Khai Bahar di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sudah empat kali, namun rezeki untuk berada di tempat tiga teratas nampaknya belum membuahkan hasil.

Bermula dengan pertaruhan pertamanya menerusi lagu Bayang di AJL ke-32 pada 2018, Khai sekadar memenangi anugerah pilihan penaja.

Kemudian pada 2019 di AJL ke-33, Khai sekali lagi bolos dengan karya nyanyian dan ciptaannya berjudul Luluh. Bagaimanapun, nasib tidak berpihak apabila tidak memenangi sebarang anugerah.

Di pentas AJL ke-36 tahun lalu, Khai kembali memeriahkan acara gilang-gemilang itu menerusi lagu duet bersama Aina berjudul Nafas Cinta, namun hanya memenangi anugerah pilihan penaja.

Begitu juga di pentas AJL-37 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini, apabila Khai sekadar berpuas hati dengan kemenangan anugerah pilihan penaja menerusi lagu Sengsara.

Kemenangan Khai menerusi kategori itu melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

BERSYUKUR apabila lagu Sengsara berjaya bolos ke pentas AJL 37. FOTO Aswadi Alias
BERSYUKUR apabila lagu Sengsara berjaya bolos ke pentas AJL 37. FOTO Aswadi Alias

Walaupun belum berkesempatan untuk mendapat tempat tiga terbaik atau vokal terbaik, Khai tetap optimis dan tidak putus asa, sebaliknya akan terus mencabar diri melakukan yang terbaik.

"Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup saya. Saya akan tetap berjuang dan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan tempat tiga teratas dan vokal terbaik di pentas ini.

"Perjalanan seni saya mungkin tampak agak sukar, tapi tiada apa yang mustahil jika kita terus percaya dengan kemampuan dan rezeki.

"Jika ada rezeki untuk bertanding saya harap dapat membuat persiapan dengan lebih rapi selain cuba memberikan aksi yang lebih baik.

"Alhamdulillah sokongan peminat terutama Khai Bahar Empire cukup membuatkan saya berasa satu kemenangan apabila mereka sentiasa berada di samping saya," katanya.

Menurut Khai, lagu Sengsara ciptaan John Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K yang berjaya mara ke AJL 37 sudah membuatkan dia berasa bangga dan bersyukur.

"Sudah terpilih ke pentas AJL 37 pun saya sudah bersyukur. Lagipun, pentas ini bukan mudah untuk dibolos. Banyak karya yang dipertandingkan pada separuh akhir sebelum ini.

"Tapi mungkin sudah tertulis rezeki lagu ini. Saya akui sudah melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin," katanya.

KHAI tidak akan berhenti berusaha untuk menempatkan diri di tiga tempat teratas AJL. FOTO Aswadi Alias
KHAI tidak akan berhenti berusaha untuk menempatkan diri di tiga tempat teratas AJL. FOTO Aswadi Alias

Menyentuh mengenai persembahan juara AJL 37 yang dimenangi Aina Abdul menerusi lagu Terus Hidup, Khai mengaku persembahan Aina cukup luar biasa.

"Terus Hidup adalah lagu kegemaran saya dan saya mengagumi bakat luar biasa yang dimiliki Aina. Dia layak bergelar juara. Persembahannya di pentas AJL 37 memang tidak dapat dinafikan. Dia memberikan sepenuh jiwa dan emosi dalam lagu itu.

"Disebabkan persembahannya itu, saya terus bersemangat untuk melakukan pembaharuan pada persembahan saya akan datang. Itu pun kalau ada rezeki,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai memberitahu dia bakal mengadakan konsert di Dewan Pilharmonik Petronas (DFP) pada November ini.

"Insya-Allah tahun ini bakal menyaksikan beberapa projek baharu daripada saya. Saya juga bakal muncul dengan single solo tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 7:00 AM