ELYANA syukur disahkan bebas kanser.
ELYANA syukur disahkan bebas kanser.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Elyana masih meneruskan rawatan kanser limfoma seperti biasa meski memaklumkan dia sudah bebas daripada sel barah yang merebak dalam tubuhnya, awal Disember lalu.

Elyana, 35, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal berkata, dia masih perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak empat kali selepas ini.

"Alhamdulillah, beberapa minggu lepas saya sudah lakukan ujian saringan yang terbaru, menunjukkan sel kanser itu sudah tidak ada. Tapi saya masih berjaga-jaga sebab bila-bila saja sel kanser ini boleh aktif kembali.

"Jadi, saya masih jalani rawatan berkala seperti biasa yang berbaki lagi empat kali sesi kimoterapi. Insya-Allah selepas itu, saya akan buat transplan pula. Alhamdulillah, setakat ini saya masih boleh buat kerja seperti biasa tapi yang tidak terlalu berat," katanya.

Elyana juga penyanyi lagu Diriku Tapak Sulaiman mengakui terkejut dengan hasil positif yang diterima selain bersyukur kerana doanya selama ini dimakbulkan.

"Ketika hari doktor kongsikan berita itu, saya memang tak jangka langsung. Saya sudah sakit selama 10 tahun dan pada awalnya, memang mengharapkan kesembuhan tapi ia tidak berlaku. Jadi, saya tanam dalam hati tidak perlu berharap, cuma sekadar berdoa moga diberikan kekuatan untuk teruskan kehidupan.

"Ketika doktor minta saya lakukan ujian imbasan positron emission tomography (PET) sebelum teruskan kemoterapi yang kelima, dia minta saya untuk sama-sama tengok hasil imbasan.

"Katanya, cuba tengok ini awak punya kanser sudah hilang. Lalu saya terkejut dan alhamdulillah ketika itu suami pun ada di sisi saya. Kami saling memandang. Sampai sekarang, sejujurnya saya masih rasa ia macam mimpi," katanya.

Elyana turut sebak dan berazam untuk terus kuat demi anak-anak selain memberikan inspirasi kepada mereka yang turut sama berdepan dugaan sama.

"Apa yang saya doa dan mimpikan selama ini sudah pun berlaku. Saya gembira begitu juga dengan doktor yang merawat. 10 tahun tempoh yang lama untuk kami tunggu saat ini. Syukur alhamdulillah.

"Saya sebak. Orang kata setiap ujian pasti akan ada pelangi di hadapan dan perkara ini terjadi kepada saya. Saya selalu mimpi, doakan mahu hidup lama untuk temankan anak-anak. Kalau boleh mahu bersama sehingga mereka besar sampailah ada orang yang boleh jaga sebagaimana saya menjaga mereka.

"Selalu fikirkan perkara ini dan ia menjadi antara doa yang saya panjatkan. Pada masa sama saya juga mahu sihat untuk memberi inspirasi kepada mereka yang sedang ditimpa ujian sakit untuk terus kuat," katanya.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan bahawa dia menghidap kanser limfoma itu pada 2017 lalu.

Elyana yang bertemu jodoh dengan Khairul Anuar pada 2010 dikurniakan anak perempuan, Cinta Sumayyah, 11, dan seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 6:45 AM