Mawi
Mawi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Filem Hantu Kuat Ketawa hasil karya Mawi mencatat kejayaan apabila menduduki carta nombor satu dalam Carta Filem Top 5 Astro First untuk tempoh dua hari tayangan.

  Mawi, 38, atau nama sebenarnya Asmawi Ani yang juga penerbit berkata, ini adalah petanda yang baik untuk filem kedua arahannya selepas Tiada Tajuk untuk mencatat kejayaan yang lebih besar.

   "Syukur sangat-sangat dengan pencapaian setakat ini. Ramai yang sokong karya saya dengan menonton cerita ini sejak ditayangkan di Astro First bermula 27 Januari lalu.

   "Saya tiada rahsia tertentu dalam penghasilan filem ini. Namun yang pastinya saya hasilkan ia untuk hiburan, tapi dalam berhibur ada masukkan isu-isu terkini yang dekat dengan kita.

   "Saya harap peminat akan terus menyokong filem ini agar ia kekal bertahan di kedudukan pertama carta," katanya kepada Harian Metro.

   Mawi bagaimanapun memberitahu belum mendapat tahu berapa jumlah kutipan yang diperoleh Hantu Kuat Ketawa setakat ini.

   "Saya belum diberitahu oleh Astro berkenaan perkara ini. Namun, berada di kedudukan pertama carta sudah buat saya lega.

   "Saya kini terus bekerja keras untuk memperkenalkan filem ini kepada peminat. 

   "Selain promosi di media sosial, saya juga buat sesi pelakon bertemu peminat seperti petang ini berada di Mydin USJ," katanya 

   Dia juga gembira filem berkenaan mendapat ulasan positif daripada penonton yang sedikit sebanyak membantu menggalakkan orang ramai untuk menonton.

   Filem Hantu Kuat Ketawa yang juga bergenre komedi seram menampilkan lakonan Saiful Apek, Syanie Hisham, Along Cham dan Zarina Anjoulie Lavocah

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 12:41 PM